Menurut laporan DigiTimes, Apple dijangka memintas Samsung sebagai pembeli panel OLED terbesar dunia. Sepanjang 2021, Apple diramalkan membeli 169 juta panel OLED berbanding Samsung yang akan membeli 157 jura panel.
Kesemua panel yang dibeli adalah untuk iPhone yang menjangkakan peningkatan jualan tahun ini. Dari 169 juta panel yang dibeli, 110 juta adalah dari Samsung Display, 50 juta dari LG dan 9 juta lagi dari BOE. Walaupun dipintas Apple, Samsung masih lagi dapat menjana keuntungan dari penjualan iPhone.
Tahun ini Apple dijangka menggunakan panel OLED LTPO baharu yang menyokong kadar segar semula 120Hz yang selama ini hanya digunakan pada peranti Android. Samsung juga mengaut keuntungan jualan panel OLED kerana membekalkannya kepada Xiaomi, Oppo, OnePlus dan Realme. Sungguhpun begitu Samsung Electronics turut membeli panel keluaran BOE yang dijual pada harga lebih murah untuk peranti bukan mercu mereka.
Dominasi pasaran panel ini mendorong kepada sokongan format HDR10+ yang ditubuhkan oleh Samsung, Panasonic dan 20th Century Fox sebagai pesaing kepada Dolby Vision.