Carian
Peranti Asus Dengan Logo Snapdragon Tersenarai Di TENAA – Mungkin Peranti Permua Qualcomm Tersendiri?
June 2, 2021 Fahim Zahar

Asus sudah pun melancarkan siri ROG Phone 5 mereka dan siri Zenfone 8 mereka di Malaysia. Tetapi pada bulan Mac, sebuah peranti tersenarai dalam kod perisian Asus ROG Phone 5. Peranti tersebut disenaraikan sebagai ASUS_I007D dan dikatakan adalah Asus ROG Phone 7, kerana kod nama ASUS_I005D digunakan oleh ROG Phone 5.

Terkini di laman TENAA sebuah peranti baharu Asus telah tersenarai. Apa yang menarik adalah, peranti ini mempunyai logo Snapdragon di belakang yang tidak pernah kita lihat sebelum ini. Biasanya sesebuah peranti janaan cip Qualcomm Snapdragon tidak akan memaparkan logo pada produk, kalau ada pun hanyalah prototaip untuk Qualcomm lakukan demonstrasi.

Peranti ini dilihat menggunakan skrin 6.78-inci OLED, dijana Snapdragon 888, hadir dengan memori 16GB RAM dan storan dalaman 512GB. Kamera adalah tetapan tri-lensa dengan sensor 64+12 Megapixel dan satu lagi sensor tambahan. Peranti misteri ini menjalankan Android 11 dan menggunakan pegimbas cap jari fizikal kuno di belakang.

Sumber menyatakan yang peranti ini mungkin adalah peranti permua Qualcomm tersendiri yang mula kedengaran sejak tahun lepas lagi. Mungkin seperti Google, sebelum hadir dengan jenama sendiri sepenuhnya mereka juga pernah bergantung kepada ramai pengeluar termasuk Asus. Jadi ini mungkin langkah awal Qualcomm? Sama-sama kita nantikan.

Komen