HarmonyOS Dilancarkan Secara Rasmi – Satu Sistem Operasi Untuk Semua Peranti

Diterbitkan pada Jun 2, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Hari ini HarmonyOS akhirnya diumumkan secara rasmi untuk digunakan pada telefon pintar, tablet, jam tangan pintar, skrin pintar dan pelbagai lagi perkakasan lain dalam ekosistem Huawei. Menerusi sistem operasi kendiri ini, Huawei ingin meninggalkan Android sepenuhnya dan berdiri dengan perisian yang dikawal sepenuhnya sama seperti yang dilakukan oleh Apple.

Menurut ketua pegawai eksekutif Huawei Richard Yu, HarmonyOS direka untuk menggabungkan pelbagai sistem operasi di bawah satu payung. Selain pada peranti pintar, Huawei berkata HarmonyOS turut boleh digunakan pada kereta dan peranti berhubung di rumah. Kerana ia sebuah sistem operasi yang fleksibel, ia boleh digunakan pada peranti yang hanya mempunyai RAM serendah 128KB.

Kerana kesemua peranti pintar kini menggunakan satu sahaja sistem operasi, proses integrasinya juga lebih mudah. Oleh itu pada peranti HarmonyOS Control Panel turut diumumkan untuk kawalan pelbagai peranti di rumah secara setempat. Jika anda mempunyai dua perkhidmatan penstriman audio, speaker pintar boleh memainkan muzik dari aplikasi muzik pertama dan fon telinga boleh memain dari aplikasi muzik kedua.

Dalam demo yang diperlihatkan, proses menambat pelbagai aksesori audio dan peranti berhubung boleh dilakukan dengan menarik ikon sahaja pada skrin. Proses menyahtambat juga dilakukan menarik keluar ikon keluar dari ikon yang menurut Huawei adalah lebih intuitif. Dengan ini pelbagai peranti dengan HarmonyOS dapat berfungsi sebagai sebuah adi-peranti.

Integrasi dengan komputer riba MateBook juga diperlihatkan dengan ciri yang sama iaitu perkongsian kandungan telefon pintar terus pada Windows 10 dan ciri tarik dan tampak rentas platform seakan Huawei Share 3.0. Dengan ciri ini, Huawei menawarkan ciri yang sama seperti Link to Windows dan Your Phone pada peranti Samsung.

Sebuah lagi ciri yang menarik perhatian ialah ciri membuka aplikasi dari satu peranti ke sebuah lagi peranti. Apabila skrin multi-tugas dibuka, pengguna dapat melihat ikon untuk aplikasi lain HarmonyOS yang dimiliki. Secara teorinya pengguna membuka permua di telefon kemudian menghantarnya ke tablet untuk pengalaman skrin yang lebih besar.

Dari segi rekaan antaramuka ia tidak banyak berbeza dengan apa yang dilihat pada EMUI 11. Antaramuka masih lagi minimalis dengan rekaan ikon yang rata. Ciri tambahan ialah sokongan ikon yang dinamik berubah saiz apabila ditatal untuk menunjukkan maklumat tanpa perlu membuka aplikasi, widget yang lebih pelbagai seperti Android dan iOS dan folder yang bijak memberikan saranan aplikasi lain yang boleh dikumpulkan bergantung kepada jenis.

Dengan pelbagai penambahbaikan ini, Huawei berkata pengalaman penggunaan peranti dengan HarmonyOS adalah lebih pantas dan pelbagai jika dibandingkan dengan Android dan tidak akan menjadi perlahan selepas digunakan beberapa tahun.

Peranti terawal menggunakan versi terkini HarmonyOS adalah Huawei Watch 3, Watch 3 Pro, MatePad Pro 12.6 dan MatePad 8.0 baharu. Sementara itu sebanyak 100 telefon pintar dan tablet Huawei telah disahkan akan menerima HarmonyOS bermula hari ini sehingga suku pertama 2022. Antara yang menerimanya ialah peranti lama seperti Huawei P10.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami