Huawei akhirnya menunjukkan rekaan Huawei P50 yang telah sekian lama menjadi misteri selepas lukisan CAD tertiris beberapa bulan yang lalu. Dengan dua bonggo kamera yang besar, timbul spekulasi apakah konfigurasi kamera yang akan digunakan dan sama ada lensa dari Leica akan diteruskan selepas ia turut ditawarkan kepada Sharp.

Dua bonggol kamera menempatkan sistem kuad kamera dengan bonggol pertama menempatkan tiga sensor manakala bonggol kedua menempatkan satu sensor dan satu flash. Dapat dilihat penggunaan lensa empat segi yang mengesahkan sistem zum periskop akan dikekalkan. Penjenamaan Leica dapat dilihat dengan jelas.
Pada bahagian hadapan skrin yang melengkung pada sisi dapat dilihat bersama dengan butang kuasa dan laras audio diletakkan pada sisi kanan. Peranti masih kelihatan nipis dan elegan. Ketua pegawai eksekutif Huawei, Richard Yu mengatakan pada asalnya P50 sepatutnya telahpun dilancarkan sempena musim bunga tetapi ditangguh kerana cabaran yang dialami syarikat.
Cabaran ini pastinya berkait rapat dengan kesukaran mendapatkan cip mercu untuk P50 akibat sekatan perdagangan dan juga masalah bekalan di tahap global yang mendatangkan impak ke atas kesemua pengeluar.