Bulan lepas, Realme melancarkan satu jenama baharu di bawah ekosistem Realme TechLife – Dizo. Produk-produk yang akan Dizo bawakan adalah memfokuskan kepada rumah pintar, hiburan pintar, aksesori dan juga barangan penjagaan pintar. Kesemua produk yang sentiasa berhubungan dengan peranti pula akan menggunakan aplikasi Realme Link. Boleh dikatakan seakan Xiaomi dengan Mijia, di mana semua produk sebegini dikawal oleh Mi Home.

Tetapi ketika pengumuman jenama ini, tiada sebarang produk diumumkan. Baru-baru ini muncul di laman FCC, dua peranti Dizo. Peranti ini dilihat adalah telefon bimbit dengan nama Star 500 dan Star 300. Star 500 adalah telefon asas dengan rangkaian 2G yang menyokong dwi-sim. Ia hadir dengan satu kamera dan satu LED flash yang turut akan berfungsi sebagai lampu suluh. Kapasiti bateri adalah 1,830mAh dan telefon ini turut mempunyai sokongan kad mikroSD.

Star 300 pula dilihat hadir dengan bateri lebih besar, iaitu 2500mAh. Seperti Star 500, ia juga menyokong dwi-sim, satu kamera, satu LED flash dan slot kad mikroSD. Keunikan pada telefon ini adalah pembesar suara yang dilihat bergabung dengan modul kamera. Beberapa hari lepas, laman Shopee Mall Dizo di Vietnam telah menyenaraikan tiga produk Dizo. Antaranya adalah Dizo Watch (sudah dipadam di Shopee) yang kami temui dalam aplikasi Realme Link. Selain daripada itu, turut ditawarkan adalah Dizop GoPods dan Dizo GoPods D – set fon telinga nirwayar sebenar (TWS).

Ketiga-tiga produk ini dilihat hanyalah penjenamaan semula kepada Realme Watch 2, Realme Buds Air 2 dan Realme Buds Q2. Dizo GoPods dijual pada harga sekitar RM482, Dizo GoPods D pula adalah RM142 dan Dizo Watch pada sekitar RM267. Harga jualan adalah lebih mahal berbanding harga pasaran Malaysia iaitu RM199, RM129 dan RM229. Apa kata anda dengan produk-produk ini?