15 Perkara Menarik iPadOS 15

Diterbitkan pada Jun 8, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Acara WWDC 2021 sudah pun tamat dengan pelbagai produk perkara baharu menarik diumumkan. Sudah semestinya antara yang ramai nanti-nantikan adalah iOS 15 dan juga iPadOS 15, di mana banyak perkara menarik didengari sebelum ini, yang diingini selama ini dan yang sepatutnya terbina sejak dulu lagi – menjadi realiti.

Sehingga hari ini, saya masih berpegang bahawa iPad adalah tablet mudah alih terbaik yang tiada pesaing. Walaupun ia sudah cukup berkuasa, lagi-lagi dengan model baharu yang dijana dengan cip M1 – setaraf dengan MacBook. Tetapi iPad masih iPad dan belum bersedia lagi menjadi pengganti komputer. Tetapi adakah iPadOS 15 ini akan mengubah pengalaman tersebut? Ini adalah 10 perkara menarik iPadOS 15.


1. Akses Widget Lebih Meluas

Semasa iOS 14/iPadOS 14 diperkenalkan, Apple mengumumkan sokongan widget buat pertama kalinya untuk sistem operasi peranti mudah alih mereka. Widget adalah ciri yang sudah berzaman ada pada sistem operasi Android dan suhda hampir setahun ada pada sistem operasi Apple. Dalam iPadOS 15, widget tidak lagi terhad di ruangan khas dan boleh diletakkan di mana-mana di skrin iPad.

Bukan itu sahaja, saiz widget juga adalah lebih besar bagi aplikasi yang menyokong saiz ekstra besar ini. Melalui sokongan ini, satu laman di skrin boleh digunakan khusus untuk widget besar dan akses dari sisi mungkin boleh gunakan widget yang memaparkan rumusan data.

2. Lebih Kemas Dengan Talam Aplikasi

Dock dalam iPadOS 15 juga menerima sedikit penambah-baikan. Ia kini menyertakan ikon khusus untuk membuka talam aplikasi. Talam aplikasi juga diperkenalkan dengan iOS 14 sebelum ini. Tetapi dengan iPad yang lebih fokus terhadap produktiviti, pasti dalam tablet ini akan ada banyak aplikasi khusus untuk kerja.

Jadi, dengan talam aplikasi ini setiap aplikasi aka disusun dalam kategori tersendiri secara pintar. Kemudian urutan skrin pada skrin utama juga kini boleh disusun mengikut citarasa pengguna.

3. Multi-Tugasan Lama Semakin Baik, Baru Bertambah Hebat

Walaupun iOS tidak terkenal sebagai sistem operasi yang menyokong multi-tugasan, iPadOS adalah berbeza. iPadOS boleh buka tiga aplikasi serentak melalui Split View atau Slide Over. Dua aplikasi pada kiri dan kanan, manakala satu lagi seakan tetingkap terapung dengan senarai aplikasi terbuka tersendiri.

Tetapi dengan iPadOS 15, ia lebih efisien, lebih mudah digunakan dan saya rasa antara yang terbaik untuk konsep multi-tugasan pada peranti mudah alih. Kini terdapat menu baharu pada setiapm aplikasi yang dibuka, iaitu tiga titik – di mana apabila ditekan tetingkap aplikasi akan mengecil dan pergi ke skrin utama. Pilih aplikasi kedua dan selesai. Misal kata satu aplikasi adalah Safari dan satu lagi adalah Mail, emel yang ingin dibaca boleh dibuka pada tetingkap terapung ketiga.

Tambahan pada Safari, ia boleh mencipta tetingkap lain untuk lebih produktif. Contoh lima tab kerja pada satu tetingkat, 2 tab hiburan pada tetingkap lain dan seterusnya.

4. Nota Yang Pantas Untuk Tak Terlepas Pandang

Aplikasi nota kegemaran saya sehingga hari ini adalah Google Keep kerana boleh diakses secara rentas-platform. Ia juga padat dengan ciri dan fungsi penting. Apple mengumumkan aplikasi nota baharu untuk iPadOS 15, di mana membuatkan saya ingin terus menggunakan ekosistem Apple 100%.

Aplikasi nota Apple abharu bukan sahaja meminjam banyak ciri aplikasi nota Google dan MIUI, tetapi cukup pintar dan menjadikan iPad sebuah tablet yang lebih hebat. Ciri Quick Note membenarkan nota boleh diakses daripada mana-mana dalam satu tetingkap kecil. Setiap nota juga boleh disusun mengikut kategori dan ditanda dengan ciri Tag Browser serta Smart Folders. Catit nota pada iPad, sunting pada Mac, akses pada iPhone.

5. Terjemah Dari Mana Sahaja

Aplikasi Translate yang Apple umumkan tahun lalu dilihat agak menarik untuk dicuba. Tetapi disebabkan sokongan bahasa yang terhad, aplikasi ini tidak diminati orang ramai. Google Translate jauh lebih baik jika dibandingkan sebelah-menyebelah.

Ciri yang popular pada Google Translate, kini terbina pada aplikasi penterjemahan Apple dan lebih menarik semua ciri pintar adalah dari dalam peranti. Pengguna boleh berbual dengan orang lain yang berbahasa asing lebih semula jadi dengan aplikasi ini. Selain itu, aplikasi juga boleh menterjemah teks, gambar yang ada tulisan dan lain-lain untuk lebih mudah digunakan.

6. Guna iPad Untuk Bangunkan Aplikasi iPadOS

Fakta Benar 1: iPad adalah tablet terbaik. Fakta Bohong 1: iPad adalah pengganti komputer.

Walaupun iPad sudah cukup berkuasa, ia masih belum bersedia untuk menjadi pengganti kepada sebuah komputer. Ini kerana masih banyak aplikasi dan sokongan yang terhad. Tetapi secara perlahan, Apple mencari pengguna yang mungkin kerja mereka boleh digantikan dengan iPad sepenuhnya. iPad kini boleh membangunkan aplikasi iOS dan iPadOS melalui Swift Playground 4. Pengguna boleh lakukan semua pengkodan pada iPad dan terbit apliksi ke App Store.

Lebih menarik, semua fail dan kod yang ditulis/dibangunkan boleh diakses pada Xcode untuk sambung pembangunan pada macOS.

7. FaceTime Kini Menjadi Pesaing Telesidang Yang Digeruni

FaceTime mungkin satu-satunya antara ciri panggilan video lalai yang terbina pada sesebuah telefon pintar yang wujud sejak dulu lagi. Samsung dahulunya ada, tetapi dibuang dan kemudian digantikan dengan Google Duo. OnePlus pula terus gunakan Google Duo. Tetapi FaceTime tidak pandang Duo, kenapa pandang Duo, kalau boleh lawan lebih daripada Tigo?

FaceTime kini boleh dijadikan sebagai pesaing kepada Zoom, Google Meet, dan banyak lagi. Ia kini boleh menjemput semua orang termasuk mereka yang tidak menggunakan produk Apple. Boleh kongsi pautan, paparan grid untuk semua peserta, kongsi skrin dan juga mod potret.

Jika itu tidak cukup, melalui SharePlay pengguna boleh strim video sambil panggilan video dan jemput orang lain untuk tonton bersama. Ia juga menyokong aplikasi muzik dan turut boleh diselarikan antara satu sama lain. Jika ada Apple TV, AirPlay video di televisyen sambil semua rakan/tersayang/keluarga berada dalam ssesi panggilan video tadi untuk memberi reaksi bersama.

8. Sistem Notifikasi Android + Steroid

Sistem notifikasi pada iOS saya gemar kerana rekaan sahaja. Tetapi dari segi implementasi, Android masih lagi antara yang terbaik. Tetapi Apple cuba gabungkan kesemuanya menjadi satu sistem pemberitahuan yang boleh memanfaatkan pengguna.

Jika terlampau banyak notifikasi, tidak bermakna semuanya penting. Jadi ada yang boleh dirumuskan untuk iam kembali diberitahu pada waktu yang pengguna inginkan. Ia secara ringkasnya hanyalah seakan snooze + Notification Histrory pada Android yang lebih baik.

9. iPad Kerja + iPad Peribadi = 1 iPad

Tambahan kepada sistem notifikasi tadi adalah integrasi bersama-sama dengan Do Not Disturb. Visi Apple dan Google berbeza untuk ciri ini, di mana profil peribadi, profil kerja, profil anak dan lain-lain adalah di bawah Do Not Disturb dan juga ciri baharu Focus.

Berbeza dengan Focus pada Digital Wellbeing, implementasi Apple adalah lebih menyeluruh termasuk lebih efisien. Setiap profil akan ada notifikasi tersendiri, akses terhad kepada aplikasi terpilih dan secara tidak langsung turut boleh mengurangkan lagi obsesi pengguna terhadap gajet.

10. Tiada Siri Lens/Vision, Tapi Ada Live Text

Google Lens antara produk Google yang Google bangga. Samsung pula hadir dengan Bixby Vision. Tetapi Apple, tidak memerlukan aplikasi lain (terbina atau perlu muat turun) – kerana terus terbina dalam aplikasi kamera. Buka kamera, imbas terus apa jua objek, haiwan, kedai dan lain-lain.

Jika teks dikesan, pengguna boleh terus salin dan tampal untuk tujuan mencari, navigasi atau kongsi. Tidak kiralah teks itu daripada logo, poster, papan putihm resit dan lain-lain.

11. Sistem Carian Yang Lebih Menyeluruh

Sistem carian Spotlight juga kini semakin cerdik. Ia tidak lagi terhad, tetapi lebih menyeluruh sehinggakan boleh mencari terus imej daripada aplikasi Photos, imej daripada web, keputusan carian yang lebih jelas butiran termasuk terus memaparkan perbualan terkini dengan rakan, lokasi, mencari barang melalui Find My dan lain-lain.

12. Aplikasi Album Yang Semakin Bijak

Apple cuba sedaya upaya mereka untuk mengimplementasikan sesuatu ciri menarik, terus kepada dalam sistem tanpa pengguna perlu memuat turun aplikasi lain.

Aplikasi album lalai Apple adalah Photos, ia kini menjadi lebih mirip dengan Google Photos apabila mula menyokong Memories. Album akan mencari imej-imej lama, baru, atau yang sistem fikirkan ia adalah yang terbaik untuk diimbau kembali oleh pengguna. Setiap memori ini juga ada integrasi dengan Apple Music untuk disunting dengan muzik kegeraman dan setiap imej juga akan ada kesan visual tambahan yang mungkin boleh menceriakan hari seseorang.

13. Lebih Kawalan Terhadap Privasi

Seperti Android dan Google, begitu jugalah iOS/iPadOS dan Apple – privasi dan sekuriti pengguna itu penting (kata merekalah). iPadOS turut akan mempunyai lebih kawalan terhadap privasi untuk pengguna lebih sedar siapakah yang sedang menjejak, ke manakah data peribadi itu pergi atau pengguna sendiri boleh terus menghalangnya. Apple juga menggunakan taktik seakan Google, di mana data semua disimpan dan diproses daripada peranti pengguna dan tidak dihantar ke pelayan mereka.

Melalui Mail Privacy, emel pengguna akan lebih selamat tanpa data digunakan oleh penghantar untuk tujuan iklan. Kemudian turut terbina adalah App Privacy Reports, yang boleh memberikan anda dokumen dalam format .json untuk melihat semua akses yang telah digunakan oleh aplikasi dalam iPad.

Dengan iCloud+ juga, Apple memberi sekuriti tambahan kepada perlindungan privasi dan sekuriti pengguna seakan menggunakan VPN – tetapi bukan VPN. iCloud+ adalah untuk semua pelanggan Apple yang ada melanggan pakej iCloud.

14. Universal Control Pelengkap Multi-Tugasan

Jika anda rasakan ciri multi-tugasan baharu yang Apple umumkan untuk iPadOS 15 ini menarik dan anda pula adalah pengguna iPhone + iPad + Mac, Universal Control adalah untuk anda.

Dengan hanya sepasang papan kekunci dan tetikus atau anda gunakan terus yang terbina pada MacBook atau selongsong Magic Keyboard, ia boleh digunakan antara satu peranti ke peranti lain. Contohnya jika anda sedang uruskan dokumen pada iPad, anda boleh sambung drag & drop dokumen tadi terus ke Mac melalui satu pad sesentuh sahaja.

15. Anugerah Pelayar Web Tablet Jatuh Kepada Safari

Sejak tahun lepas saya semakin jatuh cinta dengan iPad kerana pelayar web yang secara automatik yang ditetapkan secara lalai untuk mod desktop. Apa yang menarik, mod desktopnya adalah versi hampir lengkap yang hampir sama dengan Safari pada macOS.

Dalam kemaskini baharu, antaramuka adalah lebih kemas dengan bar + tab dan ruangan carian digabungkan. Ia juga kini boleh mengumpulkan tab mengikut kategori (seperti Chrome) dan turut menyokong multi-tetingkap. Bermakna anda boleh buka banyak tab dan susun tab-tab tertentu. Lebih menarik, setiap tab yang disusun mengikut kategori boleh terus sambung pada iPhone atau macOS. Safari pada iPadOS 15 juga kini menyokong pemalam yang sama disokong pada Safari macOS.


Dengan iPadOS 15, sistem operasi Android termasuklah Android 12 terus sukar untuk bersaing dengan Apple. Ini kerana Apple melakukan satu langkah baik dengan mengasingkan iPadOS dengan iOS, walaupun pada hakikatnya asasnya masih lagi sama. Tetapi dengan fokus tersendiri, Apple boleh fokus kepada setiap produk dengan pasukan tersendiri untuk memuaskan hati semua pengguna.

Apple iPadOS

Google kini perlu tawarkan satu skistem operasi Android yang lebih baik khusus untuk tablet dan tidak boleh mengharapkan sentiasa daripada pengeluar, kemudian salin dan tampal untuk tawarkan secara terbina dalam AOSP.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami