10 Ciri-Ciri Baharu watchOS 8 Yang Baru Diumumkan

Diterbitkan pada Jun 8, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Worldwide Developer Congress pagi ini melihat pelbagai penambahbaikan diperkenalkan pada iOS, iPadOS, tvOS, Home Kit dan juga watchOS. Dengan terdapat terlalu banyak pengumuman baharu pastinya agak sukar untuk melihat apakah yang menarik dan bakal ditawarkan kepada pengguna kelak. Oleh itu ini senarai 10 ciri baharu ataupun yang menarik diperkenalkan oleh Apple untuk watchOS 8 di acara WWDC 2021.

1. Muka Jam Dengan Portrait Mode

Apple mendapati ramai pemilik Apple Watch menggunakan gambar potret insan tersayang sebagai muka jam mereka. Menerusi watchOS 8 kelak, muka jam yang menggunakan gambar potret akan mengambil data 3D yang tersimpan. Objek boleh dipisahkan dari latar belakang dan ini bermakna elemen menunjukkan waktu boleh diletakkan di belakang objek hadapan. Ini mungkin dalam bentuk wajah isteri atau anak tersayang.

2. Apple Watch Sebagai Kunci

Apple Watch boleh digunakan sebagai kunci bukan sahaja pada kereta tetapi juga pintu pintar, pagar akses di tempat kerja dan kunci hotel. Integrasi yang lebih mendalam menerusi Apple Wallet membolehkan kesemua ciri ini digunakan. Pada waktu ini hotel di bawah rangkaian Hyatt mengesahkan sokongan Apple Watch sebagai kuncu membuka bilik tidur.

Tiada lagi keperluan untuk menggunakan kad akses fizikal plastik yang mungkin hilang dan ternyahmagnet. Kereta keluaran BMW akan menyokong Apple Watch sebagai kunci kereta menerusi sokongan UWB. Kereta ternyahkunci apabila pengguna berhampiran kenderaan dan kemudian enjin dihidupkan dari Apple Watch.

3. Apple Watch Sebagai Identiti Digital

Menerusi integrasi Wallet juga, Apple Watch boleh menjadi pengganti kad identiti digital di beberapa negeri di Amerika Syarikat. Kad identiti negeri atau lesen memandu boleh diimbas gambarnya sebelum disimpan dengan selamat. Apple bekerjasama dengan pihak TSA bagi membolehkan ciri ini digunakan secara rasmi untuk pengesahan identiti penumpang kapal terbang semasa melakukan pemeriksaan di lapangan terbang.

4. Find Items Mencari Barang

Find My Friends dan Find People kini ditambah baik menjadi Find Items. Bukan sahaja rakan taulan sanak saudara Makcik Kiah serta Pak Su boleh dijejak kini kesemua produk yang menyokong rangkaian Find My boleh dijejak terus dari Apple Watch dengan watchOS. Antara yang disokong ialah iPad, iPhone, AirPods, AirTags MacBook dan barangan seperti basikal yang diumumkan hanya beberapa minggu yang lalu.

5. Mengesan Pernafasan Ketika Tidur

Apple Watch menambah satu lagi ciri kesihatan dengan mengesahkan kadar pernafasan ketika tidur. Ini adalah amat berguna dengan insan yang mempunyai masalah apnea tidur sehingga menyebabkan pernafasan terhenti seketika. Ia penambahbaikan dari ciri mengesan dengkur sebelum ini. Accelerometer pada Apple Watch digunakan untuk mengesan kadar pernafasan ketika tidur dan ya ini bermakna Apple Watch perlu dipakai untuk data dikumpul.

6. Menyokong Aktiviti Tai-Chi Dan Pilates

Terus dari Apple Watch, dua aktiviti senaman Tai-Chi dan Pilates kini ditawarkan. Pengguna boleh melakukan aktiviti senaman ini dengan arahan terus dari pegelangan tangan. Dengan kata lain dua lagi aktiviti kini hadir dengan jurulatih peribadi maya yang boleh membantu kerana pada waktu pandemik ini masih banyak gimnasium belum dibuka untuk mendapatkan bantuan jurulatih secara fizikal.

7. Aplikasi Photos Lebih Berguna

Aplikasi Photos pada Apple Watch kini lebih bijak mengumpulkan imej yang mempunyai tema yang sama untuk memori tertentu kesemuanya menerusi data yang diselarikan di iPhone. Pengguna boleh melihat gambar-gambar terus dari pergelangan tangan akhirnya berkongsi kepada rakan menggunakan emel dan iMessage.

8. Integrasi HomeKit Yang Lebih Baik

Antaramuka HomeKit pada Apple Watch turut tidak ketinggalan diberikan nafas baharu. Apabila kamera pada loceng pintar di rumah mengesan ada orang di pintu, pengguna boleh melihat siapakah mereka terus dari Apple Watch. Ini adalah baik juga notifikasi penghantaran bungkusan yang dipesan secara atas talian atau membeli makanan menggunakan Uber Eats misalnya.

Integrasi HomeKit juga membenarkan ciri intercom digunakan untuk memancarkan suara kepada kesemua penghuni rumah menerusi HomePod, HomePod Mini dan peranti pintar dengan speaker yang menyokong piawaian Matter yang baru diumumkan. Menerusi Matter, kelengkapan yang dihasilkan oleh Amazon, Comcast, Google, SmartThings, dan Connectivity Standards Alliance kini serasi dengan ekosistem HomeKit. 

9.Mod Focus

Mod Focus turut ditawarkan watchOS 8 sama seperti yang ditawarkan pada iOS, iPadOS dan macOS. Jadi apakah gunanya mod Focus baharu ini. Ia akan mengurangkan gangguan kepada pengguna ketika melakukan aktiviti. Tahap gangguan ditapis boleh diubah sendiri oleh pengguna atau mengambil sahaja tetapan tersedia untuk tempat kerja, sedang tidur atau sedang bersenam. Dengan ini hanya notifikasi yang penting sahaja akan diberikan pada Apple Watch bergantung kepada aktiviti.

10. Kawalan Apple Watch Tanpa Perlu Menyentuh Skrin

Apple Watch Assistive Touch
Apple Watch Assistive Touch

Ini telah diumumkan sebelum WWDC tetapi ingin kami sentuh sekali lagi kerana ia amatlah cool. Assistive Touch pada watchOS 8 membolehkan pengguna menjawab telefon, memulakan aktiviti sukan, memilih aplikasi yang ingin dibuka dan banyak lagi secara nirsentuh. Genggaman tangan boleh dibaca oleh Apple Watch sebagai ganti sentuhan dan accelerometer menggerakkan tetikus Motion Pointer pada skrin. Walaupun direka untuk kegunaan OKU dengan pergerakan yang terhad, ia ciri yang masih boleh digunakan oleh semua.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami