Sokongan Audio Spatial Dolby Atmos Dan HiFi Nirhilang Kini Diaktifkan Pada Apple Music

Diterbitkan pada Jun 8, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Bulan lepas, Apple telah mengumumkan yang Apple Music akan hadir dengan sokongan Audio Spatial Dolby Atmos dan juga HiFi nirhilang. Lebih menarik, Apple tidak mengenakan sebarang caj tambahan kepada pelanggan. Sesiapa yang sudah melanggan Apple Music, sama ada pelajar, individu atau Apple One boleh terus menikmati ciri baharu ini pada bulan Jun.

Jun sudah tiba, acara WWDC 2021 juga sudah tamat. Kini Apple Music dengan sokongan Audio Spatial Dolby Atmos dan HiFi nirhilang sudah boleh digunakan. Tetapi, jika anda sudah memuat turun satu album sebelum sokongan ini diaktifkan – anda perlu buang dan muat turun kembali. Apple Music tidak akan memuat turunkan secara automatik.

Bersempena dengan ini, Apple turut menyediakan beberapa senarai main khusus untuk Audio Spatial Dolby Atmos;

  1. Made for Spatial Audio
  2. Hits in Spatial Audio
  3. Rock in Spatial Audio
  4. Pop in Spatial Audio
  5. Hip-Hop in Spatial Audio
  6. Country in Spatial Audio
  7. Jazz in Spatial Audio
  8. Classical in Spatial Audio

Untuk nirhilang, anda hanya perlu cari album atau muzik yang ada logo “Lossless“. Anda juga perlu aktifkan terlebih dahulu pada tetapan aplikasi Apple Music, tetapkan Dolby Atmos hidup sentiasa atau automatik, kemudian pada kualiti audio hidupkan Lossless Audio, di bawahnya tetapkan kualiti yang anda mahukan ketika menstrim dan/atau memuat turun, dan akhir sekali jika album yang anda sudah muat turun sebelum ini menyokong dua ciri baharu Apple Music ini – padam dan muat turun semula.

Apple turut menyediakan senarai main Introducing Spatial Audio, di mana ada dua fail audio. Satu adalah rakaman suara artis Marvin Gaye menjelaskan perubahan audio mono ke stereo dan kemudian gabungan stereo dan Dolby Atmos. Seterusnya beliau menjelaskan kenapa Audio Spatial dengan Dolby Atmos adalah format pendengaran muzik baharu.

Sebagai peringatan, anda memerlukan set fon telinga/kepala berwayar sahaja (atau yang nirwayar jika menyokong sambungan 3.5mm) dengan pengiktirafan HiFi, memerlukan DAC atau aksesori lain yang seangkatan dengannya, penyesuai MFI dan juga berkualiti tinggi jika ingin disambungkan pada iPhone, iPad atau lain-lain kabel/wayar yang bersesuaian untuk digunakan pada produk Apple lain.

Disebabkan AirPods, AirPods Pro, dan AirPods Max adalah aksesori audio Bluetooth dan menggunakan cidec tersendiri Apple AAC, ia hanya menyokong Audio Spatial sahaja. Kesemua aksesori ini tidak akan menyokong audio nirhilang. Pada HomePod dan HomePod Mini pula, audio nirhilang akan disokong dalam kemaskini akan datang.

Walaupun ada beribu muzik Apple tawarkan, siaran radio, penstriman siaran langsung Apple Music 1, Apple Music Hits, dan Apple Music Country serta video muzik tidak akan menerima sokongan audio nirhhilang.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami