Fossil adalah antara jenama jam biasa yang aktif dalam pengeluaran jam tangan pintar. Di bawah Fossil juga, iaitu Fossil Group – terdapat banyak lagi jenama lain seperti Skagen, Puma dan lain-lain yang turut aktif dengan jam tangan pintar. Kebanyakan jam mereka juga menjalankan Wear OS.
Tetapi sayang sekali, semua jam mereka yang sedia ada tidak akan dikemaskini kepada Wear OS baharu yang diumumkan semasa Google I/O tempoh hari. Sebaliknya, Fossil hanya akan membawakan Wear OS baharu ini kepada jam tangan lain yang akan dilancarkan nanti. Berbeza dengan Mobvoi, yang mana jam mercu mereka akan diberikan kemaskini ini.
Melalui Reddit, seorang pengguna telah bertanyakan soalan kepada Mobvoi mengenai status kemaskini. Mobvoi menjawab, TicWatch Pro 3 GPS akan menerima kemaskini Wear OS 3.0. Tetapi, tarikh untuk kemaskini diedarkan tidak didedahkan lagi. Berbeza dengan Android 12, AOSP adalah sumber terbuka dan boleh dicuba oleh orang ramai. Wear OS pula tertutup, jadi ujian beta dan lain-lain amat terhad.
Antara sebab Mobvoi boleh menyokong sistem baharu dan Fossil tidak adalah, cip pemprosesan pada TicWatch Pro 3 GPS adalah Snapdragon Wear 4100 yang terkini dan berkuasa. Kebanyakan jam Fossil adalah Snapdragon Wear 3100 dan 2100 – mungkin ada had dari segi spesifikasi. Berkemungkinan besar, Samsung mungkin akan menjadi yang terawal hadir dengan Wear OS baharu ini. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan.