Kerajaan United Kingdom telahpun memberikan arahan bahawa kelengkapan telekomunikasi Huawei perlu digantikan sepenuhnya menjelang 2027. Alasan yang diberikan ialah faktor keselamatan sehingga Amerika Syarikat mengancam tidak memberikan akses kepada maklumat rahsia sekiranya ia tidak dilakukan.
Kini Samsung telah memenangi kontrak untuk menggantikan kelengkapan 5G Huawei yang digunakan oleh syarikat telekomunikasi Vodafone. Nilai kontrak tidak diumumkan tetapi dipercayai tinggi memandangkan Vodafone ialah syarikat telekomunikasi kedua terbesar di UK selepas BT.

Ini ialah kejayaan kedua terbesar Samsung selepas turut memenangi kontrak dari $6 bilion dari Verizon di Amerika Syarikat tahun lalu. Walaupun mereka adalah nama besar dalam dunia telefon pintar, Samsung masih baharu dalam dunia kelengkapan telekomunikasi. Selain Vodafone, Samsung turut telah mengadakan perbincangan dengan Telefonica dari Sepanyol dan Orange dari Perancis.
Dengan Huawei semakin dibelenggu halangan perdagangan, Samsung menggunakan kesempatan ini untuk menjadi alternatif kepada Huawei, Nokia dan Ericsson di Eropah. Samsung mula mengorak langkah dalam menghasilkan kelengkapan telekomunikasi 5G tiga tahun lalu dengan kejayaan melakukan panggilan 5G komersial pertama dunia menggunakan kelengkapan kendiri.
Sumber Reuters