Cari @ Amanz

Ciri Android Earthquake Alerts System yang mengesan gempa pada peranti Android diuji sejak Ogos tahun lalu sebelum dikembangkan ke Greece dan New Zealand. Menjelang musim panas ini, ia akan diberikan kepada kesemua peranti Android. Ia adalah salah satu dari enam ciri baharu yang diumumkan oleh Google hari ini.

Ciri lain ialah kemampuan meletakkan bintang pada mesej kegemaran dalam aplikasi Messages. Bercakap mengenai Messages ia juga baru menerima penyulitan hujung-ke-hujung pagi ini. Seterusnya ialah Emoji Kitchen kini akan memberikan saranan emoji yang pernah digunakan apabila menaip. Pengaktifan ciri ini hanya akan diterima jika bahasa Inggeris, Sepanyol dan Portugis digunakan pada Gboard.

Sokongan lebih banyak aplikasi menggunakan arahan suara Google Assistant. Misalnya pengguna boleh memberikan arahan suara kepada Strava untuk memberitahu sejauh manakah mereka telah berlari. Assistant juga akan hadir dengan ciri memastikan pengguna melihat skrin sebelum mengesahkan arahan. Bagi golongan OKU, Android akan mengesan pengguna ingin memasukkan kata laluan dan mendengar arahan dengan lebih tepat. Memasukkan aksara kata laluan satu persatu menerusi arahan suara akan diaktifkan.

Akhir sekali Android Auto dikemaskini bagi memudahkan lagi lebih banyak kustomasi antaramuka dan sokongan mod gelap secara manual. Terdapat tab untuk aplikasi yang kerap digunakan. Bagi pengguna kenderaan elektrik, aplikasi menunjukkan stesen pengecas dan kawasan letak kereta elektrik juga disokong. Menghantar mesej juga lebih mudah menerusi Android Auto.

Kesemua ciri-ciri ini akan diberikan pada musim panas ini kecuali Android Auto yang telah diberikan bermula hari ini.

Sumber Google

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd