Carian
Huawei P50 Mungkin Menggunakan Snapdragon 888 Tanpa Sokongan 5G
June 24, 2021 Effi Saharudin

Pelancaran Huawei P50 dipercayai akan dilakukan pada 29 Julai hadapan selepas ditangguhkan kerana syarikat sukar mendapatkan bekalan komponen gara-gara sekatan perdagangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat. Dengan cip sendiri tidak lagi boleh dihasilkan selepas halangan dari menggunakan perkhidmatan TSMC, muncul laporkan P50 terpaksa menggunakan cip Snapdragon 888.

Walaupun berkuasa, versi yang akan digunakan sekadar menyokong rangkaian 4G sahaja. Ini pasti akan merencatkan jualannya di China yang telah menawarkan rangkaian 5G sejak 2019. Kelengkapan 5G masih jatuh di bawah halangan Jabatan Perdagangan A.S dan inilah sebab peranti mercu ini sekadar menggunakan 4G. Bagi mereka yang inginkan peranti dengan rekaan yang hampir serupa, Honor 50 sudahpun dilancarkan.

Sejak dikenakan sekatan, status Huawei sebagai antara pengeluar telefon pintar dunia terjejas teruk. Mengikut angka terkini IDC, mereka tidak lagi terdiri daripada lima pengeluar terbesar dengan kedudukannya kini diambil oleh Xiaomi di peringkat global dan Oppo di negara China.

Sumber MyFixGuide

Komen