Imej Pengolokan Rasmi Samsung Galaxy Z Fold3 Dan Z Flip3 5G Tertiris Mengesahkan Sokongan S-Pen

Diterbitkan pada Jun 25, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sebelum ini imej pengolokan Samsung Galaxy Z Flip2 tertiris tetapi tidak begitu jelas. Pagi ini imej pengolokan rasmi Samsung Galaxy Z Fold3 dan Galaxy Z Flip3 5G telah tertiris ke arena web menerusi ciapan @evleaks. Ia turut mengesahkan ura-ura bahawa Z Fold3 akan menyokong stylus S-Pen.

Nampaknya Samsung melangkau penggunaan nama Z Fiip2 dan terus ke Z Flip3 5G. Ini mengambil kira Z Flip 5G yang telah dilancarkan sebelum ini. Dari segi rekaan, Z Flip 3 5G kelihatan lebih bergaya dengan skrin luar yang lebih besar. Saiz lensa kamera juga lebih besar dan disusun secara menegak.

Sementara itu Z Fold3 pula mempunyai sisi yang lebih bulat. Pada bahagian skrin dalam pula, penggunaan lubang kamera masih dikekalkan tidak seperti ura-ura ia akan dilengkapi kamera bawah skrin sebelum ini. Berdasarkan saiz stylus, ia tidak akan disimpan dalam tubuh Z Fold3 kerana terlalu besar. Ia mirip rekaan S-Pen yang digunakan pada Galaxy S21 Ultra.

Kedua-dua peranti dipercayai akan dilancarkan pada penghujung Ogos tetapi besar kemungkinan akan dicah ketika acara MWC Barcelona minggu depan.

Sumber @evleaks

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami