Microsoft kini telah pun memperkenalkan Windows 11 secara rasminya, dan pada masa yang sama turut mengumumkan sokongan untuk aplikasi Android. Perkara ini dijayakan oleh Microsoft melalui kerjasama dengan Amazon, dan pengguna boleh memasang aplikasi menggunakan Amazon AppStore pada Windows 11.
Apa pun, untuk makluman, tidak semua aplikasi Android yang akan boleh digunakan dengan lancar pada sistem operasi Windows 11 ini. Untuk permulaan, Amazon AppStore akan menawarkan sejumlah pilihan aplikasi untuk digunakan bersama sistem operasi Windows 11.

Amazon turut mengatakan mereka akan menghubungi penerbit aplikasi Android di Amazon AppStore, supaya turut menawarkan aplikasi mereka untuk peranti Windows – memperlihatkan petanda yang mana ia mungkin perlu diterbitkan untuk Windows 11.
Pada masa yang sama, beberapa aplikasi Android yang memerlukan akses kepada Google Play Services, mungkin tidak berjalan dengan lancar pada Windows 11 – atau tidak ditawarkan melalui Amazon AppStore.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bagaimanakah ciri memasang aplikasi Android tanpa melalui Amazon Appstore – sama ada akan dibenarkan atau sebaliknya.
Sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut, dan melihat penerimaan sokongan aplikasi Android di Windows 11 ini.