Microsoft hari ini mengumumkan mereka telah menarik kembali aplikasi PC Health Check yang digunakan untuk sokongan Windows 11. Microsoft mengatakan mereka melakukan perkara ini, kerana mengikut maklumbalas awal, aplikasi berkenaan dilihat tidak menawarkan maklumat yang jitu seperti yang diinginkan oleh pengguna.
Aplikasi PC Health Check disediakan oleh Microsoft ketika pengenalan Windows 11 tempoh hari, bagi membolehkan pengguna menyemak sama ada komputer mereka menyokong Windows 11 atau tidak.
Pada awalnya, ia sekadar memaparkan info sama ada menyokong atau tidak. Microsoft kemudiannya mengemaskini untuk memaparkan info tambahan – namun ia dilihat masih tidak memadai.
Microsoft mengatakan mereka akan memperkenalkan kembali aplikasi ini kelak sebelum pelancaran Windows 11.
Untuk sementara itu, pengguna mungkin boleh menyemak secara manual spesifikasi yang diperlukan untuk Windows 11, atau menggunakan aplikasi pihak ketiga yang menawarkan lebih informasi.