Samsung Berkongsi Beberapa Ciri Menarik Jam Tangan Wear OS Dengan Antaramuka One UI Watch

Diterbitkan pada Jun 29, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Ketika Google I/O 2021, Samsung dan Google bersetuju menggabungkan sistem operasi Wear OS dengan Tizen. Menerusi kerjasama ini, kedua-dua syarikat berharap sebuah ekosistem jam tangan pintar yang lebih baik dapat dibangunkan bagi memberikan persaingan kepada Apple. Di MWC Barcelona, Samsung hanya memperlihatkan antaramuka baharu One UI Watch dan bukannya jam tangan Galaxy Watch4 seperti yang dijangkakan.

Ini adalah agak mengecewakan tetapi Samsung sekurang-kurangnya berkongsi beberapa ciri baharu yang akan diperkenalkan pada jam tangan pintar ini kelak. Ciri paling menarik ialah pemasangan secara automatik aplikasi sokongan pada jam tangan Wear OS dengan One UI Watch apabila aplikasi dimuat turun pada peranti Android. Tiada lagi isu perlu memuat turun aplikasi sebanyak dua kali.

One UI Watch juga akan menyelarikan tetapan pada pelbagai peranti di dalam ekosistem Samsung Galaxy. Sebagai contoh jika masa untuk dua lokasi ditetapkan pada telefon Galaxy, ia turut akan digunakan pada jam tangan pintar secara automatik.

Antaramuka skrin tetapan One UI Watch juga akan diselarikan dengan skrin tetapan One UI pada peranti Galaxy. Dengan rekaan yang sama, pengguna lebih mudah menggunakan kedua-dua peranti tanpa perlu tercari-cari tetapan yang diingini.

Integrasi aplikasi Google seperti Maps, Messages dan Gmail juga akan diperbaiki berbanding pengalaman menggunakan Tizen Wearable sebelum ini. Ini pastinya menggembirakan pengguna jam tangan pintar Samsung yang selama ini mengeluh sokongan aplikasi Google pada Tizen Wearable adalah seperti melepaskan batok di tangga.

Akhir sekali jika nombor dan mesej dari individu tertentu dihalang pada jam tangan pintar, ia akan diselarikan pada kesemua peranti Galaxy yang dimiliki secara automatik. Dengan kesemua ciri ini, Samsung berharap pengguna sistem operasi Tizen Wearable tidak keberatan untuk berpindah ke Wear OS dengan One UI Watch.

Samsung turut sekali lagi memberikan komitmen sokongan perisian kepada jam tangan Tizen Wearable sehingga tiga tahun selepas ia dilancarkan walaupun telah berubah ke sistem operasi baharu.

Sumber Samsung

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami