Carian
Ulasan Huawei Watch 3 Pro – Lebih Harmoni Diperlukan Di Sini
July 3, 2021 Effi Saharudin

Jam tangan pintar Huawei Watch 3 Pro telah dilancarkan di Malaysia minggu lalu dengan harga jualannya bermula dari RM1699 untuk versi biasa dan RM2199 untuk versi Pro yang lebih mewah. Dengan ini merupakan kali pertama Huawei menggunakan sistem operasi baharu yang mengintegrasikan kesemua peranti mereka, ramai yang tertanya-tanya sama ada percubaan sulung ini berjaya ataupun tidak.

Jawapan pendeknya ialah tidak kerana masih terdapat banyak kekurangan yang perlu diperbaiki dalam masa terdekat. Tetapi jika anda ingin mendapatkan jawapan yang lebih panjang serta terperinci teruskan membaca ulasan ini.

Spesifikasi Dan Rekaan

Huawei Watch 3 Pro
Skrin1.43″ AMOLED, 466 x 466  pixel
Pemproses?
CipDua teras
Cip Grafik?
RAM2 GB RAM
Muatan Dalaman4GB
Sistem OperasiHarmonyOS 2.0
SensorGPS, pengimbas nadi, girometer, accelerometer,
barometer, SpO2, suhu badan.
Bateri? mAh (pengecasan 10W)
SIM/TelefonieSIM/4G
Pemain MuzikYa
NFCYa
Pembesar SuaraYa
Kalis Air5 ATM
Harga JualanRM 2199

Skrin

Skrin masih lagi bulat seperti jam-jam tangan Huawei Watch sebelum ini. Ia bersaiz 1.43″ dari keluarga AMOLED dengan resolusi 466×466 pixel yang sedikit lebih besar berbanding 1.39″ yang digunakan pada Watch GT 2 Pro. Ianya cukup terang walaupun di bawah cahaya matahari yang terang di Malaysia. Ia juga rata dengan bezel hitam yang tidak kecil dan sekata.

Dengan luar permukaan yang besar, timbul keresahan ketika mengulasnya. Sebelum ini kesemua jam tangan pintar yang pernah kami ulasan bersaiz lebih kecil. Apple Watch yang menjadi jam tangan penggunaan harian kelihatan kerdil apabila diletakkan bersebelahan Watch 3 Pro. Beberapa kali skrin bergesel dengan dinding kerana ianya terlalu besar. Nasib baik pada model ini kaca yang tahan lasak digunakan kerana tiada sebarang calar dikesan.

Tiada sebarang isu mengesan sentuhan kerana ia adalah penting memandangkan HarmonyOS 2.0 lebih mementingkan navigasi secara sentuhan berbanding butang fizikal yang digunakan pada model terdahulu. Rekaan bazelnya juga tidak begitu besar dan sekata. Dari sudut estetik ianya nampak cantik tetapi masih lagi praktikal.

Perkakasan

Di sini wujud pelbagai misteri kerana Huawei sendiri tidak berkongsi sebarang maklumat mengenai pemproses yang digunakan kali ini. Yang diketahui hanyalah ia dilengkapi dua teras – satu teras prestasi dan satu lagi teras kuasa rendah yang menjimatkan penggunaan bateri. Kemungkinan besar ia masih lagi Kirin A1 kerana ia satu-satunya cip untuk peranti boleh-pakai yang dikeluarkan oleh Huawei sejak dua tahun yang lalu.

Ini dipadankan pula dengan memori sebesar 2GB dan storan sebesar 16GB. Peningkatan mendadak dilakukan pada kedua-dua spesifikasi ini dilakukan. Pada Watch GT 2 Pro, hanya 32MB RAM dan storan 4GB dibekalkan pada jam tangan pintar ini. Malahan memori 2GB RAM pada Watch 3 Pro adalah yang terbesar ditawarkan pada jam tangan pintar di pasaran sekarang.

Storan yang agak besar ini perlu bagi membolehkan ia memuatkan lebih banyak lagu untuk didengari tanpa sokongan telefon pintar. Terdapat sokongan aplikasi untuk dimuat turun tetapi jumlah yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia masih terlalu kecil sekitar 15 aplikasi sahaja ketika artikel ini ditulis

Sebagai sebuah jam tangan pintar, Watch 3 Pro dilengkapi pelbagai sensor standard seperti pengesan nadi, pengesan SpO2 (oksigen dalam darah), accelerometer, girometer, barometer, GPS, dan suhu. Unik sekali terdapat sensor mengesan suhu kulit secara aktif yang setahu kami tidak wujud pada jam tangan lain di pasaran. Semasa diumumkan beberapa minggu yang lalu, Watch 3 Pro diperlihatkan dengan ciri mengesan kandungan gula dalam darah untuk pesakit kencing manis. Tetapi pada model yang sedang diulas ini ciri tidak pula disertakan ataupun disebut pada dokumen promosi.

Besar kemungkinan ia masih belum diluluskan oleh kerajaan Malaysia kerana jatuh ke dalam kategori peralatan perubatan. Satu ciri yang juga tidak disokong oleh Watch 3 Pro ialah ECG. ECG adalah ciri penting yang membuatkan Apple Watch menjadi jam tangan pintar paling laris di pasaran dunia. Setakat ini hanya Apple Watch sahaja menyokong ECG di Malaysia dengan Galaxy Watch 3 pula belum mengaktifkannya. Bagi sebuah jam tangan pintar premium, ketiadaan ECG pada Watch 3 Pro adakah kekurangan yang paling ketara.

Ciri menarik lain yang disertakan ialah sokongan eSIM untuk menerima rangkaian 4G LTE sekaligus membolehkan panggilan telefon dilakukan dari pergelangan tangan. Tanpa eSIM sekalipun ciri ini masih boleh dilakukan sekiranya jam ditambat kepada sebuah telefon pintar dengan kad SIM yang aktif. Tambatan boleh dilakukan menerusi bluetooth 5.2 dan sokongan WiFi pula adalah sehingga piawaian Wi-Fi 802.11 b/g/n.

Seperti spesifikasi juga sama penuh misteri seperti pemproses yang digunakan. Kami hanya diberitahu ia boleh bertahan selama lima hari dalam mod jam tangan pintar aktif, 14 hari pada mod jam tangan biasa dan 21 hari dalam mod penjimatan bateri. Hayat bateri yang amat baik jika dibandingkan dengan pesaing di pasaran.

Pengecasan berwayar pula adalah sehingga 10W tetapi pengecasan secara nirwayar juga disokong menyokong format Qi. Bagi mereka yang mempunyai peranti Huawei dengan pengecasan berbalik, Watch 3 Pro boleh dicas di belakang peranti sekiranya perlu.

Rekaan

Rekaan Watch 3 Pro adalah amat premium dan kontemporari. Akhir-akhir ini rekaan yang lebih menyerupai jam tangan konvensional kembali popular. Tubuh logam titanium yang tegap dipadankan dengan tali jam berkulit asli membuatkannya sesuai dipakai untuk acara formal ataupun pejabat (jika pejabat anda masih dibuka ketika sekatan penuh ini). Tubuhnya adalah tebal dengan panel belakang pula diperbuat daripada bahan seramik. Mungkin ada yang mengatakan jam tangan ini terlalu “gemuk” tetapi kami secara peribadi sangat suka dengan rekaannya kerana terasa sedap di tangan.

Tali kulit tidak mendatangkan kegatalan pada pergelangan tangan seperti sesetengah tali silikon yang pernah kamu gunakan. Jika ia terlalu format, pengguna boleh menggantikannya dengan tali jam biasa yang dijual di pasaran memandangkan ia menggunakan mekanisme yang sama. Anda tidak perlu bergantung kepada Huawei untuk pilihan tali jam yang ingin digunakan.

Namun begitu harus diakui Watch 3 Pro adalah sebuah yang amatlah besar dan berat. Lebih besar berbanding OnePlus Watch yang menerima kritikan hebat beberapa bulan lalu kerana saiznya. Oleh sebab yang sama kami tidak selesa memakainya ketika tidur sehingga membuatkan ciri mengesan tidur langsung tidak sempat kami gunakan. Berat sangat sehingga mengganggu tidur.

Kami boleh katakan Watch 3 Pro ini hanya sesuai dipakai oleh individu berbadan besar yang ingin kelihatan maskulin. Hanya Amazfit T-Rex yang kami ulas sebelum ini mempunyai tubuh yang lebih besar serta agresif rekaannya.

Penggunaan Dan Perisian

Walaupun sistem operasi HarmonyOS 2.0 menggantikan Lite OS yang digunakan sebelum ini, Watch 3 Pro masih boleh digunakan pada peranti Android dan iOS menerusi aplikasi Huawei Health. Kami mengujinya sejak seminggu lalu dengan menambatnya kepada sebuah Huawei P30 Pro. Untuk sokongan ciri-ciri dan perisian yang lebih baik, penggunaan pada peranti keluaran Huawei adalah disarankan kerana versi terkini aplikasi Huawei Health ditawarkan menerusi App Gallery sahaja.

Proses menambah adalah amat mudah. Sejurus selepas diaktifkan jam akan memaparkan kod QR yang perlu diimbas menggunakan Huawei Health. Proses mengambil masa sekitar 5 minit bergantung kepada jumlah data sandaran yang mungkin pernah disimpan di Huawei Cloud. Aplikasi Huawei Health mudah digunakan dan ia adalah perlu bagi memudahkan lagi proses kemas kini, melakukan tetapan notifikasi yang ingin dihantar ke jam dan pelbagai tetapan lain yang sedikit sukar dilakukan menerusi skrin 1.43″ Watch 3 Pro.

Penggunaan adalah agak mudah. Tombol berputar boleh ditekan untuk melancarkan talam aplikasi. Tekan dua kali untuk melancarkan skrin multi-tugas. Kali ini aplikasi disusun dalam bentuk grid yang amat mirip watchOS. Walaupun kami adalah pengguna Apple Watch, susunan aplikasi seperti ini adalah kurang mesra pengguna kerana hanya memaparkan ikon aplikasi. Tiada nama yang memberitahu fungsinya. Pada hemat kami sistem paparan aplikasi pada Lite OS dahulu adalah jauh lebih baik kerana mengelakkan kekeliruan.

Butang fizikal kedua yang lebih besar boleh diprogramkan ke satu aplikasi sahaja. Kami memprogramkannya untuk melakukan panggilan telefon. Majoriti proses navigasi pada HarmonyOS 2.0 adalah menggunakan tatalan skrin. Tatal ke kanan untuk kembali ke skrin asal. Tatal ke kiri pula untuk akses pantas ke ciri seperti mengambil bacaan nadi, suhu badan dan SpO2. Pilihan akses pantas adalah terhad. Kami berharap sangat terdapat pilihan untuk meletakkan kalender. Mungkin boleh ditawarkan menerusi kemas kini perisian di masa akan datang.

Kekurangan kustomasi ini mungkin berkait dengan jumlah aplikasi yang masih terhad. Watch 3 Pro mempunyai App Gallery khusus untuk aplikasi jam tangan pintar sahaja. Setakat ini hanya wujud sekitar 15 muka jam untuk menjejak aktiviti sukan dan radio atas talian. Majoriti kustomasi yang boleh dilakukan sekarang ialah muka jam berbayar. Terdapat ratusan muka jam berbayar boleh dimuat turun. Bagi yang tidak mahu membeli, masih terdapat puluhan muka jam diberikan oleh Huawei yang memenuhi citarasa klasik, formal dan aktiviti sukan.

Isu lain terletak pada perisian HarmonyOS 2.0 yang masih belum cukup matang. Jatuh bangun sesebuah platform baharu amat bergantung pada bilangan aplikasi. Meego, Blackberry 10 dan Windows Phone adalah antara contoh terbaik tanpa aplikasi kegagalan akan menyusul.

Huawei masih sedang membangunkan ekosistem aplikasi untuk jam tangan pintar mereka dan oleh sebab itu pilihan aplikasi masih jauh berbanding di watchOS, Wear OS dan Tizen Wearable. Oleh itu penawaran mereka pada waktu ini masih beberapa langkah di belakang tiga sistem operasi dominan tersebut.

Kerana Watch 3 Pro dijual pada harga setanding dengan sebuah Apple Watch Series 6 40mm GPS dan diklasifikasikan sebagai sebuah jam tangan pintar penuh, palang yang perlu dilepasi olehnya adalah agak tinggi. Palang yang diletakkan oleh Apple terlalu tinggi sehingga HarmonyOS 2.0 belum mampu melepasinya pada waktu kerana ia bukan Sergey Bubka.

Huawei perlu memperbaiki lagi sistem operasi baharu mereka untuk menawarkan pengalaman yang setanding. Berita baik bagi Huawei ialah membuktikan ini bukanlah mustahil kerana HarmonyOS 2.0 pada MatePad Pro adalah 10 kali ganda lebih baik berbanding EMUI dua tahun yang lalu.

Penjejakan Kesihatan

Penjejakan kesihatannya adalah amat baik untuk aktiviti-aktiviti yang kami lakukan semasa PKP. Larian dijejak dengan tepat lengkap dengan menunjukkan kadar nadi tertinggi dan kadar nadi rehat. Pergerakan turun naik tangga juga dikesan secara automatik dengan graf yang dipaparkan dalam Huawei Health mudah difahami. Kami ingin menguji sistem mengesan aktiviti automatik yang diiklankan tetapi gimnasium kondo ditutup bersama dengan kolam renang. Oleh itu kami tidak boleh katakan kami benar-benar menguji keseluruhan sut yang ditawarkan.

Telefoni dan GPS

Panggilan telefon boleh dilakukan dengan sokongan eSIM atau tambatan pada sebuah telefon pintar Huawei. Penggunaannya adalah amat mudah dan sama sahaja seperti pada jam tangan pintar yang lain. Kami memprogramkan butang sisi besar untuk melakukan panggilan telefon. Tekan butang, pilih nombor dan tekan. Semudah itu panggilan telefon dapat dilakukan.

Panggilan adalah jelas dan lantang. Isu hanyalah kerana speaker yang kuat, mudah perbualan diintip oleh individu yang berada berhampiran. Secara peribadi kami hanya menggunakan ciri menjawab telefon ketika memandu. Tetapi dengan kini sudah enam minggu tidak keluar akibat PKP, ciri ini seolah menjadi gajah putih kerana kami 99% berada di rumah. Ia sekadar diuji untuk menjawab panggilan penghantar makanan GrabFood sahaja.

GPS memberikan prestasi yang bercampur baur. Ia gagal mengesan lokasi untuk aplikasi Weather yang terbina pada jam. Pengesanan aktiviti sukan pula adalah adalah amat baik. Ia dapat mengesan larian yang dilakukan di dalam kawasan parkir tempat kediaman walaupun ia berbumbung. Setanding dengan data yang dijejak oleh Apple Watch yang kami gunakan.

Bateri

Huawei berahsia mengenai saiz bateri rasmi yang digunakan. Tetapi menurut laman seperti GSMArena, sebuah bateri berkapasiti 790 mAh digunakan. Ini adalah lebih dari dua kali ganda kapasiti bateri Apple Watch dan Galaxy Watch3 yang merupakan pesaing terhampir dalam kategori ini. Huawei mengatakan dalam mod jam tangan pintar, Watch 3 Pro boleh beroperasi sehingga 5 hari.

Ini adalah terlalu optimistik. Dalam penggunaan kami selama seminggu, kami mengecas Watch 3 Pro setiap 3 hari. Kami mengaktifkan mod mengesan nadi aktif dan menghantar notifikasi kepada jam setiap masa. Tiga hari mungkin tidak sebaik lima hari tetapi masih lebih baik jika dibandingkan dengan dua hari yang ditawarkan Apple Watch dan Galaxy Watch3.

Hayat bateri yang lebih lama sehingga 21 hari dapat dinikmati sekiranya ia digunakan dalam mod jam tangan biasa. Ciri yang menarik tetapi mengalahkan sebab mengapa anda membeli Watch 3 Pro kerana pelbagai ciri tidak boleh digunakan. Tiada tambatan bluetooth, tiada ciri panggilan telefon dan tiada penghantaran notifikasi. Anda tidak membelanjakan lebih dari RM2000 untuk ia berfungsi seperti sebuah Mi Band.

Jika anda ingin juga jam tangan pintar yang tahan lama kami rasa Amazfit T-Rex dan T-Rex Pro adalah pilihan lebih bijak kerana bateri bertahan sehingga 20 tanpa kehilangan ciri pintar tambatan bluetooth, notifikasi dan menjawab panggilan telefon.

Pengecasan semula adalah agak pantas menggunakan pengecas berwayar 10W. Ia turut menyokong pengecasan nirwayar Qi tetapi ia lebih perlahan. Ini juga bermakna ia boleh dicas semula di belakang peranti dengan pengecasan berbalik seperti P30 Pro dan Galaxy S21 Ultra.

Perbandingan

Huawei Watch 3 ProApple Watch Series 6 (44mm)Samsung Galaxy Watch3 (45mm)
1.43″ OLED, 466 x 466 pixel1.78″ OLED, 448 x 368 pixel1.4 ″ SAMOLED, 360 x 360 pixel
?
1 x ?
1 x ?
Apple S6
2 X 1.8 GHz Thunder
Exynos 9110 
2 X 1.15 GHz Cortex-A53
2 GB RAM1 GB RAM1 GB RAM
16 GB Storan32 GB Storan8 GB Storan
48 x 49.6 x 14 mm44 x 38 x 10.4 mm
46.2 x 45 x 11.1 mm
63 gram47.1 gram53.8 gram
Sensor
Nadi, SpO2, barometer, girometer, accelerometer, termometer
Sensor
Nadi, SpO2, barometer, girometer, accelerometer, ECG, UWB
Sensor
Nadi, SpO2, barometer, girometer, accelerometer, ECG
eSIM/4G/TelefonieSIM/4G/TelefonieSIM/4G/Telefoni
Kalis air 5 ATMKalis air 5 ATMMIL-STD-810G
HarmonyOS 2.0watchOS 7.5Tizen Wearable 5.5
? mAh (Berwayar 10W dan Qi)304 mAh (Qi)340 mAh (Qi)
Harga RM 2100 (LTE)Harga RM2349 (LTE)Harga RM1299 (BT)

Kesimpulan

Huawei menjanjikan keharmonian yang lebih baik di antara telefon pintar, tablet, jam tangan pintar, speaker pintar, skrin pintar dan banyak lagi di bawah ekosistem HarmonyOS 2.0. Kami dapat melihat keharmonian ini pada tablet MatePad Pro yang ditawarkan mereka di Malaysia. Tetapi pada Huawei Watch 3 Pro mereka perlu menggandakan lagi usaha untuk membolehkan jam tangan ini berdiri sama tinggi dengan Wear OS dan watchOS.

Penggunaan adalah amat lebih lancar berbanding sistem operasi sebelum ini. Boleh kami katakan setanding dengan pengalaman menggunakan Apple Watch dan Galaxy Watch3 yang kami rasakan terbaik dalam kategori jam tangan pintar penuh. Tetapi isu Watch 3 Pro terletak pada kekurangan sokongan aplikasi pada waktu ini.

Pilihan aplikasi yang boleh dimuat turun menerusi App Gallery adalah amat terhad jika dibandingkan dengan watchOS dan Wear OS. HarmonyOS 2.0 perlu menambah penawaran aplikasi mereka dengan lebih pantas sekiranya tidak mahu terus ketinggalan. Mulakan dengan ciri paling asas terlebih dahulu seperti ciri mencari jam yang hilang menggunakan aplikasi atau mencari telefon hilang dari jam. Ciri paling asas yang wujud pada penjejak kesihatan ini tidak ada pada HarmonyOS 2.0.

Harus kami katakan penggunaan yang terbaik hanya dapat dinikmati pada telefon pintar HarmonyOS dan Android dengan EMUI. Tidak gunakan peranti Huawei? Beberapa ciri tidak disokong pada waktu ini.

Pada harga RM2199, Huawei Watch 3 Pro ialah sebuah jam tangan pintar yang premium pada rekaan dan kemasannya. Memang nampak segak seperti jam tangan yang digunakan golongan eksekutif. Tetapi gaya luaran yang hebat jika tidak dipadankan dengan perisian yang mantap membuatkan sukar untuk kami sarankan pembeliannya kecuali kepada peminat tegar ekosistem Huawei sahaja.

PRO

  • Rekaan bergaya dengan kemasan yang cukup premium.
  • Tali jam kulit amat selesa jika dibandingkan dengan tali silikon.
  • Penjejakan kesihatan dan GPS yang tepat.
  • Kemampuan kalis air sehingga 5 ATM.
  • Sokong panggilan telefon menggunakan eSIM dan tambatan ke peranti pintar.
  • Ketahanan bateri yang amat baik.

KONTRA

  • Saiz terlalu besar dan terlalu berat untuk pengguna bertangan kecil.
  • Jumlah aplikasi yang amat terhad pada waktu ini.
  • Memerlukan peranti HarmonyOS dan EMUI untuk penggunaan ciri penuh.
  • Tiada sensor ECG.

Komen