Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sudah memasuki fasa ketiga. Segalanya kini berjalan lancar walaupun permulaannya bermasalah seperti peranti PdPR murahan. Di Malaysia kini bernasib baik wujud aplikasi MySejahtera yang digunakan sebagai bukti telah menerima vaksin Covid-19. Tetapi tidak semua negara membelanjakan RM70 untuk aplikasi hebat tetapi masih menggunakan kad fizikal sebagai bukti.
Oleh itu Google hari ini mengemaskini Passes API yang digunakan oleh Google Pay. Ia kini boleh mengimbas kod QR pada kad bukti vaksinasi yang kemudian maklumatnya akan disimpan pada peranti Android. Kemas kini telahpun dilakukan menerusi Play Services dan boleh digunakan pihak kerajaan dan organisasi yang ingin menggunakannya.
Google tidak akan menyimpan data vaksinasi peribadi secara awanan untuk tujuan ini. Ia akan disimpan hanya pada peranti yang mengimbas kod pada kad vaksinasi fizikal. Sebagai keselamatan tambahan, pengguna perlu mengaktifkan sistem mengunci skrin sebelum ciri ini boleh dilakukan bagi tujuan privasi. Jika pengguna mempunyai lebih dari satu peranti Android, imbasan kad perlu dilakukan pada setiap peranti.
Spesifikasi minimum ialah peranti menggunakan Android 5 dan melepasi piawaian Play Protect. Apa yang dilakukan oleh Google sama seperti Apple yang membenarkan iPhone menyimpan data bukti vaksinasi menggunakan Apple Wallet.
Sumber Google