Xiaomi Mempatenkan Peranti Boleh Lipat Dengan Rekaan Seakan Samsung Galaxy Z Flip

Diterbitkan pada July 2, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Xiaomi Mi MIX Fold merupakan peranti skrin boleh-lipat keluaran Xiaomi dengan sistem lensa kamera cecair yang juga julung kalinya digunakan pada sesebuah telefon pintar. Ianya telah diperlihatkan dalam sebuah acara pelancaran produk mereka yang telah diadakan sekitar bulan Mac lalu.

Kini, terdapat laporan berhubung Xiaomi seolah-olah dalam perancangan untuk sebuah lagi peranti dengan rekaan skrin boleh-lipat. Paten reka bentuk peranti telah ditemui menerusi laman harta intelek China CNIPA – sekaligus memberi gambaran lebih mendalam mengenai penawaran pada peranti.

Samsung Galaxy Z Flip

Jelas kelihatan, peranti berkenaan mempunyai reka bentuk ‘clamshell‘ sama seperti Samsung Galaxy Z Flip. Panel pada bahagian dalam akan mempunyai potongan berbentuk seakan pil di sudut kiri atas yang mungkin bertujuan untuk sokongan kamera swafoto. Ia kemudiannya, dipadankan dengan binaan bezel yang agak tebal pada sekeliling paparannya.

Pada panel luaran pula terdapatnya rekaan modul kamera berbentuk bulat lengkap dengan sistem tri-kamera. Turut kelihatan, satu bulatan kecil di sudut kiri atas pada panel belakang yang mungkin adalah sokongan untuk LED Flash. Jika diteliti, paten yang dikongsi bagaimanapun langsung tidak menunjukkan sebarang bayangan mengenai kewujudan paparan sekunder seperti mana yang terdapat pada Galaxy Z Flip.

Seterusnya, terdapat dua butang fizikal pada sisi kanan yang dijangka berfungsi sebagai butang kuasa dan laras audio. Selain itu, terdapat juga kemungkinan ianya akan mempunyai sokongan pengimbas cap jari di sisi. Buat masa ini, ianya masih sekadar paten dan belum diketahui sama ada produk akhir akan menggunakan konsep sebegini atau sebaliknya. Tetapi jika ianya benar, apa pendapat anda mengenainya?

Sumber : Letsgodigital

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami