Cari @ Amanz

Antara jenama kegemaran saya sendiri adalah Mobvoi. Sejak dari zaman belajar lagi saya telah menggunakan jenama ini, iaitu jam tangan pintar TicWatch. Kepakaran mereka adalah dalam Wear OS, dan menawarkan harga jualan yang kompetitif. Selepas hadir dengan TicWatch Pro 3 GPS, pertama di dunia dengan Snapdragon Wear 4100 – mereka hadir dengan TicWatch E3 pula iaitu iterasi lebih murah dengan prestasi lebih kurang sama.

Selepas menggunakan jam ini sejak ia dilancarkan, saya masih berpuas hati walaupun ada dua elemen yang saya tidak gemari. Ini adalah artikel ulasan, dengan harapan dapat membantu anda menentukan keputusan sama ada ingin beli atau tidak?


Spesifikasi Dan Rekaan

Skrin1.3″ High Density Display IPS LCD, 360 x 360
PemprosesSnapdragom Wear 4100
Memori1GB RAM + 8GB Storan
Sistem OperasiWear OS
PerlindunganKalis Air & Debu IP68
Boleh Di bawa berenang
Bateri380mAh
SensorPemecut, Giro, Imbasan Nadi HD PPG, SpO2
Low Latency Off-Body Sensor
GPS + GLONASS + Beidou
Lain-LainNFC, Bluetooth 5.0, Wi-Fi:802.11b/g/n
Pembesar Suara – Ya
Mikrofon – Ya
PengecasanSambungan Magnetik Pada Dermaga Khas
Bahan BinaanPolikarbonat + Gentian Kaca
Tali Jam20mm, Silikon, Boleh Tukar
HargaRM850

Kenapa Mobvoi boleh jual TicWatch E3 sebagai jam Wear OS dengan Snapdfragon Wear 4100 paling murah adalah, ia menggunakan skrin LCD. Ia adalah satu pengorbanan besar pada sesebuah jam tangan pintar apabila panel LCD digunakan, kerana ia bukanlah panel terbaik. Panel skrin yang digunakan bersaiz 1.3-inci berbentuk bulat dengan resolusi 360 x 360 piksel. Tiada sebarang keistimewaan pada skrin jam ini, seperti versi Pro yang ada panel kedua untuk menjimatkan lagi penggunaan bateri atau juga bezel boleh-putar seakan padx Galaxy Watch.

Memori adalah 1GB RAM, yang mana agak besar untuk Wear OS dan turut dipadankan dengan 8GB storan dalaman yang juga cukup memadai. Sistem operasi masih lagi Wear OS 2.x, ketika artikel ini ditulis ia sedang menjalankan Wear OS 2.28. Bateri juga lebih kecil dengan saiz hanya 380mAh, ada perlindungan IP68 dan turut boleh dibawa berenang.

Jam ini turut mempunyai pembesar suara dan mikrofon untuk penggera, Google Assistant, panggilan telefon dan lain-lain lagi. Hampir kesemua sensor pada Pro 3 GPS disediakan kecuali Barometer dan juga variasi ini tiada sokongan e-SIM.

Jam ini 100% plastik, atau lebih spesifik polikarbonat dan gentian kaca dengan kemasan warna Panther Black yang memberi ilusi seakan diperbuat daripada aluminium. Ia juga sangat ringan, sedikit tebal, ada dua butang fizikal untuk pelbagai kawalan. Tali jam adalah 20mm silikon jenis boleh tukar. Ia juga cukup selesa di tangan dan tidak ada masalah gatal-gatal atau sebagainya.

Pengalaman Penggunaan

Walaupun hanya skrin LCD, ia masih cukup terang untuk kegunaan kedua-dua di dalam dan di luar rumah. Skrin masih boleh dilihat dengan jelas, kandungan dipaparkan dengan baik, warna juga cukup cantik, serta sensitiviti pada skrin sesentuh juga tiada sebarang masalah. Cuma, masalah dengan skrin LCD adalah warna hitam yang tidak begitu gelap, di dalam gambar anda lihat ia cukup gelap dan menarik. Hakikatnya di depan mata, hitam itu adalah ilusi kerana apa yang kita akan lihat adalah warna kelabu gelap.

Pada sesetengah orang, mereka boleh sahaja terima skrin LCD. Tetapi, dengan warna hitam yang tidak begitu memuaskan – muka jam yang cantik, menarik, kreatif dan unik yang memanfaatkan warna hitam untuk kelihatan realistik tidak dapat ditunaikan jam ini. Bezel sedikit tebal, jadi akan jelas kelihatan jika menggunakan muka jam yang cerah.

Butang fizikal pertama di atas adalah untuk ke talam aplikasi atau ke muka jam, dan butang kedua adalah akses pintas ke aplikasi kegemaran. Kawalan lain masih bergantung kepada sentuhan melalui beberapa gestur mudah.

Seperti yang terbukti pada TicWatch Pro 3 GPS, prestasi pada TicWatch E3 juga lebih kurang sama. Sangat pantas, lancar dan memuaskan. Sepanjang penggunaan saya beberapa minggu ini, saya langsung tidak mengalami sebarang lengah masa atau juga sistem tergendala. Daripada menukar muka jam, tukar aplikasi, pasang, tatal, melancarkan apa jua aplikasi semuanya memuaskan. Ia mengingatkan saya kepada pengalaman saya dengan Apple Watch.

1GB RAM pada sebuah jam tangan pintar Wear OS pada hemat saya adalah satu perkara wajib dan 512MB patut dihentikan sahaja. Dengan memori besar ini, ia mampu mengendalikan pelbagai tugasan tanpa sebarang masalah. Malah, Google Assistant yang sering dilaporkan ada masalah pada Wear OS turut berjalan dengan lancar pada jam ini. Cuma, Mobvoi telah membuang fungsi sebut Ok Google untuk diseru dan dihadkan kepada butang fizikal untuk tekan dan tahan. Dengan kemaskini Play Store yang lebih mesra pengguna serta kemaskini Wear OS baharu akan datang – Wear OS akan menjadi semakn baik.

Penggunaan kecergasan juga dilihat cukup responsif dan memuaskan. Pemantauan tidur yang dilakukan juga cukup baik dan boleh dikatakan mempunyai keputusan yang lebih kurang sama antara Oppo Watch dan TicWatch Pro 3 GPS. Sensor nadi, SpO2, penjejakan tapak, semuanya baik sekali.

Ciri Unik

Kelebihan TicWatch E3 adalah ia adalah antara jam tangan pintar yang mampu menjejak aktiviti HIIT atau senaman berintensiti tinggi seperti menumbuk di udara dengan tenaga dan semangat seakan menumbuk punching bag. Saya dapat uji untuk seketika, tetapi HIIT bukanlah aktiviti yang saya mampu lakukan dengan penuh semangat. Pemantauan saya, saya dapat katakan yang ianya cukup membantu untuk lihat status diri masing-masing selepas aktiviti selesai.

Mobvoi turut memperkenalkan TicCare iaitu ciri media sosial untuk pengguna produk TicWatch mengikuti antara satu sama lain dan lihat pencapaian masing-masing dalam aktiviti yang sihat. Melalui aplikasi Mobvoi baharu, semuanya mudah dipantau dan turut boleh diselarikan dengan Google Fit untuk data diakses pada peranti lain.

Ketahanan Bateri

Bateri adalah perkara yang paling saya tidak gemar dengan TicWatch E3. Ia hanya mempunyai kapasiti 380mAh yang mana adalah lebih 60% kurang daripada variasi Pro. Anda bayangkan kalau TicWatch Pro 3 GPS dengan penggunaan yang ekstrem dan Essential Mode – mod Wear OS boleh berjalan selama 2 hari ke 2 hari setengah dan kadangkala mencapai tiga hari. Kemudian dengan mod penjimatan bateri ini, ia memberi tambahan tiga ke empat hari lagi. Penggunaan ringan pula, Pro boleh jadi seakan Mi Band dengan ketahanan menghampiri dua minggu.

Sayang sekali dengan skrin LCD, penggunaan kuasa adalah tinggi – lebih-lebih lagi jika menggunakan Always-On Display. Jadi, sepanjang penggunaan jam ini, saya tidak mengaktifkannya. Dengan itu, saya menerima ketahanan satu hari setengah mod Wear OS penggunaan ekstrem dan dua hari tambahan untuk mod Essential. Penggunaan ringan juga adalah sama, iaitu jam ini akan mati selepas empat ke lima hari.

Pengecasan masih sama, iaitu dermaga khas magnetik. Pro 3 GPS dan E3 menggunakan jenis yang sama. Ia juga agak pantas, sekitar 1 jam lebih sudah penuh.

Kesimpulan

Jika anda tidak kisah dengan skrin LCD, tidak kisah dengan bateri 3-4 hari sahaja, TicWatch E3 adalah jam untuk anda. Jam ini adalah untuk mereka yang inginkan jam kedua sebagai simpanan, atau juga khusus kepada mereka yang pertama kali ingin menggunakan Wear OS.

Fokus jam ini adalah untuk menikmati pengalaman Wear OS yang cukup berkuasa dengan cip Snapdragon Wear 4100 serta kemampuan menjejak aktiviti HIIT dan sebagainya. Jam ini juga ada mikrofon, pembesar suara, NFC, dan banyak lagi. Boleh dikatakan pakej lengkap pada harga sangat mampu milik.

Harga jualan adalah RM830, yang ditetapkan oleh Mobvoi Malaysia. Jika anda sempat membelinya pada harga promosi ketika awal pelancaran, ia dijual pada harga RM750. Tapi untuk tidak sampai RM900 pun, ini adalah satu-satunya Wear OS yang berkuasa yang anda boleh dapatkan.


Pro

  • Prestasi gila lancar, pantas dan memuaskan.
  • Mikrofon dan pembesar suara terbina pada pakej mampu milik.
  • Rekaan ringkas, ringan dan selesa di tangan.
  • Harga jualan yang sangat mampu milik untuk spesifikasi yang ditawarkan.

Kontra

  • Skrin LCD yang tidak memuaskan.
  • Bateri yang sangat lemah dan mengecewakan.
  • Binaan plastik yang rasa murah.
  • Masih tidak pasti Wear OS 3.0 akan disokong atau tidak, kerana Google tidak tahu.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd