Anda Kelak Boleh Terus Pilih Lokasi Pemasangan Aplikasi Di Play Store – Telefon, Jam, Atau Kedua-Duanya Sekali?

Diterbitkan pada July 21, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Walaupun Wear OS bukanlah sistem operasi jam tangan pintar terbaik dan popular, Google masih tidak mengalah dan cuba menawarkan pengalaman penggunaan yang terbaik. Google dan Samsung telah bekerjasama untuk menyatukan Wear OS dan Tizen, yang mana Samsung menamakannya One UI Watch dan akan dijalankan pada Galaxy Watch4 akan datang.

Antara ciri pada One UI Watch adalah, pengguna boleh pasang aplikasi untuk jam terus daripada Play Store pada telefon. Tetapi buat masa ini, masih tidak tahu sama ada Wear OS baharu ini atau Wear OS 3.0 akan diedarkan kepada jam Wear OS sedia ada atau tidak. Tetapi beberapa minggu lalu, Google membawakan rekaan antaramuka Android 12 Material You pada Play Store untuk Wear OS.

Terkini, Google dilihat telah mengemaskini Play Store untuk Android dan Wear OS untuk menjadi lebih baik. Google turut menambah penuras baharu untuk hasil carian menjadi lebih tepat. Kini akan ada segmen khas pada hasil carian iaitu “Wear OS” dan “Watch Faces for Wear OS” untuk lebih mudah muka jam dan aplikasi dicari. Google turut menggalakkan pengguna tambah kata kunci Watch atau Watch faces semasa melakukan carian.

Pada Play Store Android, butang Install atau Pasang kini ada anak panah untuk menu tambahan – yang mana memerlukan pengguna memilih sumber pemasangan sama ada telefon, jam atau kedua-duanya sekali. Play Store pada jam juga akan dapat mengenalpasti aplikasi yang telah dipasang pada telefon, versi Wear OS masih belum dipasang. Untuk pembayaran daripada dalam aplikasi, kini akan ada sistem yang memberitahu untuk sambung pembayaran pada telefon atau salin URL untuk buka di pelayar web.

Kemaskini ini dilihat terhad kepada Wear OS versi 2.x dan ke atas sahaja. Turut pastikan anda kemaskini aplikasi Wear OS, Google, Google Play Services bukan sahaja pada telefon tetapi pada jam juga. Ia akan diedarkan dalam masa minggu-minggu akan datang. Sama-sama kita nantikan.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami