Cari @ Amanz

Wear OS 3.0 dijangka adalah nama baharu bagi sistem operasi jam tangan pintar Google. Ini kerana versi terkini adalah 2.28. Wear OS 3.0 juga dibina berasaskan Android 11 dan adalah kerjasama bersama Samsung dengan elemen Tizen diintegrasikan bersama. Buat masa ini, hanya jam tangan pintar daripada Samsung sahaja sah akan menjalankan Wear OS generasi baharu ini – iaitu One UI Watch.

Terkini, Google dilihat mula menguji antaramuka baharu untuk gedung aplikasi mereka pada Wear OS – Play Store. Kali terakhir Google mengubah rekaan gendung aplikasi ini adalah pada 2019. Dengan Wear OS 3.0 menggunakan rekaan baharu seperti Material You, elemen bujur, ikon dan teks besar dan berwarna-warni – Play Store pada Wear OS sekarang mula menerima antaramuka baharu ini.

Ikon carian kini mempunyai warna latar baharu, senarai aplikasi terpapar dalam bentuk bujur pada setiap satu dan di bawahnya ada bintang ulasan diberi oleh pengguna. Rekaan keseluruhan masih lebih kurang sama lagi, seperti susun atur dan sebagainya. Tetapi elemen baharu yang digunakan menggunakan ruang kosong secara lebih optimum.

Google masih tidak pasti sama ada jam tangan pintar Wear OS sedia ada akan menerima kemaskini baharu ataupun tidak. Qualcomm dan Google sedang bekerjasama lagi dengan yakin cip Snapdragon 4100/4100+ serta 3100 masih cukup berkuasa. Ini dibuktikan oleh Mobvoi melalui TicWatch Pro 3 GPS dan E3 mereka, serta Oppo dan Xiaomi dengan jam tangan Wear OS yang menggunakan pelancar tersendiri.

Ada ura-ura menyatakan, Samsung akan menjadi fokus utama untuk Wear OS baharu. Jenama lain hanya akan melihat peluang mereka cerah atau tidak seawal 2022 akan datang. Sama-sama kita nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd