Pihak XDA baru-baru ini telah menerima maklum balas daripada Qualcomm mengenai masa hadapan jam tangan pintar Wear OS yang dijana dengan cip pemprosesan mereka. Sudah semestinya, persoalan utama adalah – adakah cip pemprosesan mereka menyokong sistem operasi Wear OS baharu dengan gabungan Tizen yang diumumkan semasa Google I/O baru-baru ini.
Menurut Qualcomm, cip pemprosesan Snapdragon Wear 3100, 4100 dan 4100+ berkemampuan menjalankan Wear OS baharu, atau Wear OS 3.0/Wear. Mereka sedang bekerjasama bersama Google untuk menjayakan usaha ini. Tetapi mereka tidak kongsi sebarang informasi spesifik lagi buat masa ini.
Wear OS baharu akan hadir dengan banyak ciri dan fungsi baharu, antaranya adalah tambatan pantas Fast Pair. 28 Jun kelak, Samsung dijangka akan memperlihatkan pengalaman jam tangan pintar baharu – mungkin untuk Galaxy Watch 4 da Wear OS x Tizen. Kita akan ketahui lebih banyak butiran pada ketika itu. Walaupun Qualcomm menyatakan Snapdragon Wear 3100 menyokong sistem operasi ini, Fossil telah mengesahkan yang jam-jam mereka yang sedia ada tidak akan menerima kemaskini baharu dan terhad kepada jam baru sahaja.