Faedah Menyertai Selangor Accelerator Programme 2021 Untuk Startup Anda

Diterbitkan pada July 9, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Bila kita bercakap mengenai syarikat pemula atau startup, memang tidak dinafikan bahawa terdapat kepelbagaian dalam jenis perniagaan yang diketengahkan oleh mereka. Sungguhpun begitu, kesemua mereka ini mempunyai matlamat yang sama untuk memberi manfaat kepada ramai pengguna menerusi produk atau servis yang ditawarkan.

Adakah anda juga salah seorang pemilik syarikat startup tempatan? Masih mencari hala tuju jelas untuk perniagaan? Tidak tahu di mana hendak bermula? Apa kata anda mendaftar dengan program Selangor Accelerator Programme 2021 (SAP 2021) Tapi, apakah sebenarnya program ini? Apa pula manfaat menarik yang akan diperoleh melaluinya?

Selangor Accelerator Programme 2021

Untuk pengetahuan, ia merupakan sebuah program anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat & Ekonomi Digital Selangor (Sidec) yang giat membantu para usahawan tempatan mengembangkan perniagaan ke arah lebih baik. Sasaran utama program ini adalah mahu membuka peluang lebih luas kepada usahawan untuk mengasah bakat. Pada masa sama, turut membantu mereka mengolah strategi bagi menerima pelabur.

Sehingga tahun 2020, program ini telah melahirkan sebanyak 90 syarikat startup yang hebat dalam industri masing-masing. Ini termasuklah perkomputer awan, perdangangan elektronik, bandar pintar dan lain-lain. Antara bentuk-bentuk latihan yang diberikan kepada peserta adalah seperti latihan, kelas dan sesi perkongsian bersama mentor yang berpengalaman.

Selangor Accelerator Programme 2020

Dalam pada itu, terdapat juga banyak kelebihan sertai program ini antaranya dapat menimba ilmu berkaitan perniagaan, jalin hubungan yang baik sesama syarikat dan banyak lagi. Perkara ini diakui sendiri oleh bekas peserta program itu sendiri iaitu HeyAlfred dan Kapitani Sdn Bhd. yang merupakan dua syarikat yang menyertai program Selangor Accelerator Programme 2020. Pada masa sama, kedua-duanya turut menyarankan program ini buat mana-mana syarikat startup di luar sana yang masih mencari hala tuju.

Rakan Kongsi & Media

Tidak terhenti disitu, masih banyak lagi manfaat dan faedah menarik lain yang boleh anda dapat melaluinya. Antaranya seperti yang disenaraikan di bawah :

  • Tanpa ekuiti & tiada bayaran – di mana perbelanjaan sepenuhnya ditanggung oleh pihak penganjur.
  • Jaringan kolektif pelabur, kerajaan dan VC.
  • Hadiah wang tunai yang menarik.
  • Akses eksklusif kepada pemimpin-pemimpin industri & usahawan veteran.
  • Mempercepatkan syarikat startup anda ke tahap seterusnya.

Bercakap lebih lanjut mengenai ganjaran, terdapat pelbagai hadiah menarik yang disediakan oleh pihak penganjur buat para peserta. Boleh dikatakan kesemua peserta program akan menerima bahagian masing-masing. Ia merangkumi sokongan kewangan dalam bentuk kredit awan, bantuan teknikal dalam bentuk latihan, dan banyak lagi. Apa yang lagi menarik, jikalau anda berjaya menjadi antara lima (5) finalis terbaik kelak berpeluang untuk berentap merebut hadiah utama berupa wang tunai berjumlah sehingga RM50,000.

Menarik bukan? Inilah masanya anda untuk syarikat startup anda bersinar dan jangan lepaskan peluang keemasan ini. Bagi yang berminat, pendaftaran SAP 2021 telah dibuka sehingga 14 Julai 2021. Sila hantar permohonan sebelum tarikh tutup. Mana-mana syarikat startup yang terpilih akan memulakan program pada 28 Julai sehingga 5 September 2021. Maklumat lanjut, sila layari pautan rasmi Sidec.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami