Menteri Kesihatan Dr Adham Baba hari ini mengumumkan kelak individu berusia 60 tahun ke atas di Lembah Klang boleh pergi ke mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk mendapatkan suntikan vaksin tanpa sebarang temu janji. Sebelum ini individu di bawah kategori ini perlu mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera dan laman VaksinCovid.gov.my bagi mendapatkan tarikh serta PPV yang ditetapkan.

Pengumuman hari ini amat dinantikan orang ramai yang mula melaporkan masih ada warga emas yang belum menerima sebarang suntikan vaksin walaupun fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan PICK) sudah berlangsung sejak April yang lalu. Menurut data yang dikongsi oleh JKJAV sebelum ini, sebanyak 60% warga emas yang mendaftar untuk fasa kedua sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaskin.
Selepas ujian rintis di Lembah Klang, warga emas di seluruh Malaysia juga akan dibenarkan mendapatkan suntikan vaksin di mana-mana PPV tak sebarang temu janji terlebih dahulu. Namun begitu ketika sidang media yang dilakukan sebentar tadi, Dr Adham tidak boleh menyatakan bilakan program ini akan dimulakan di Lembah Klang.
Setakat ini lebih 12.6 juta penduduk Malaysia sudah menerima suntikan vaksin dengan 4 juta pula sudah menerima dos yang lengkap. Ini menyebabkan Perdana Menteri meminta pihak JKJAV untuk mempertimbangkan memberi kelonggaran kepada mereka untuk mendapat kebebasan bergerak bagi membuka semula sektor ekonomi dan sosial yang sudah terjejas teruk.