Carian
Huawei P50 Mungkin Dilancarkan Pada 29 Julai Dengan Snapdragon 888 dan 4G Sahaja
July 19, 2021 Effi Saharudin

Pelancaran Huawei P50 terpaksa ditangguh tahun ini kerana syarikat mengalami masalah mendapatkan komponen yang diperlukan untuk peranti mercu ini. Rekaannya telahpun diacah beberapa kali dan amatlah mirip dengan Honor 50 yang sudahpun dipasarkan beberapa minggu yang lalu. Kini ura-ura mengatakan P50 akan akhirnya dilancarkan pada 29 Julai.

Peranti akan menggunakan Snapdragon 888 yang sekadar menyokong rangkaian 4G sahaja. Kerana halangan perdagangan, komponen yang menyokong 5G tidak boleh dibeli oleh Huawei. Cip Snapdragon 888 digunakan kerana Huawei sudah kehabisan bekalan cip mercu Kirin 9000 selepas dihalang dari menggunakan perkhidmatan TSMC untuk menghasilkannya.

Penjualan peranti 4G di era 5G bukanlah langkah yang baik bagi syarikat yang pernah memintas Samsung secara seketika sebagai pengeluar peranti nombor 1 dunia. Tetapi ia harus juga dilakukan untuk kelangsungan syarikat.

Sumber GSMArena

Komen