Sejak kebelakangan ini sering diperkatakan mengenai ZTE Axon 30 5G. Ia bakal menjadi pengganti kepada model ZTE Axon 20 5G yang dilancarkan pada tahun lalu dengan sokongan skrin hadapan penuh tanpa sebarang takuk ataupun lubang. Setelah sekian lama menjadi tanda-tanya mengenai kemunculan rasminya, nampaknya hari ini jawapannya mula diperlihatkan.
ZTE telah mengesahkan bahawa telefon pintar tersebut bakal diumumkan secara rasmi pada minggu hadapan – iaitu 27 Julai 2021. Pada masa sama, reka bentuknya juga diperlihatkan sepenuhnya. Di mana, ZTE Axon 30 5G akan didatangkan dalam tiga pilihan warna berbeza seperti hitam, putih, dan biru. Di samping itu, ia juga dipercayai hadir dengan kemasan ekslusif yang berasaskan kulit.
Seterusnya, paparan hadapannya juga jelas menunjukkan tidak mempunyai sebarang takuk atau lubang yang disertakan – sekaligus, ia pastinya menggunakan teknologi kamera bawah skrin. Tambahan pula, ia juga sebelum ini telah didedahkan bakal menggunakan teknologi kamera bawah skrin generasi kedua inV see Pro yang lebih baik keluaran Visionox.
Panel belakang pula memperlihatkan konfigurasi lensa yang agak unik. Di mana, ia menampilkan modul kamera berbentuk segi empat yang dipadankan dengan dwi-bonggol besar. Satu lensa gergasi yang dipercayai merupakan sensor utamanya dilihat menjadi titik fokus pada modul berkenaan. Seterusnya, tiga lagi lensa lain ditempatkan pada bonggol yang kedua.
Untuk spesifikasi, ZTE Axon 30 5G dipercayai hadir dengan skrin OLED berukuran 6.92-inci bersama resolusi 1080 x 2460 piksel. Ia juga dijangka hadir dalam beberapa varian dengan memori sehigga 12GB RAM dan storan dalaman 512GB. Tidak habis disitu, ianya juga dijangka dibekalkan bateri sebesar 4,100, sensor utama 64-Megapixel dan cip pemproses lapan teras dengan kelajuan mencecah 3.2GHz – yang besar kemungkinan adalah cip Snapdragon 870. Sama-sama kita nantikan pelancaran rasmi kelak untuk ketahui penawaran lebih lanjut mengenai telefon pintar ini.
Sumber : Weibo ZTE