LG menarik diri dari perniagaan telefon pintar tahun ini selepas menanggung kerugian tahun demi tahun. Pengumuman mengejutkan dilakukan pada April lalu selepas mereka mengacah peranti skrin boleh-gulung LG Rollable yang kini tidak akan dijual kepada umum. Ini menimbulkan dilema kepada rangkaian 400 gedung LG Best di Korea Selatan yang tidak lagi mempunyai produk di ruangan peranti mudah alih.

Menurut laporan Korea Herald, bermula Ogos hadapan LG akan meneruskan perancangan untuk menjual iPhone, iPad dan Apple Watch di kedai milik mereka. Sebelum ini rancangan LG ini menerima tentangan dari pesaing mereka Samsung kerana dilihat sebagai memberi kelebihan kepada produk Apple.
Hanya tiga peranti mudah alih ini akan dijual oleh LG. Komputer riba MacBook dan desktop iMac tidak akan dijual kerana ia bersaing secara terus dengan produk seperti komputer riba LG Gram.