Carian
Poster Xiaomi Mi Pad 5 Tertiris Menunjukkan Penggunaan Cip Snapdragon 860, Skrin Resolusi 2K
July 21, 2021 Amy Maizuraa

Kalau anda perasan, desas-desus mengenai Xiaomi Mi Pad 5 sudah kedengaran sejak sekian lama – baik dari segi rekaan mahupun spesifikasi utama padanya. Pada masa sama, turut kedengaran khabar angin tersebar yang mendakwa Xiaomi dijangka mengumumkan tablet berkenaan sekitar bulan Ogos depan.

Dalam perkembangan terkini, rekaan Mi Pad 5 diperlihatkan sekali lagi. Tetapi, kali ini menerusi poster promosi yang tular di Weibo. Dapat dilihat, tablet ini akan mempunyai sokongan dwi-kamera di belakang bersama satu LED Flash. Penampilannya jelas berbeza dengan imej pengolokan yang tular sebelum ini terutamanya untuk rekaan modul kamera.

Panel hadapan turut diberi nafas baru dengan bezel yang lebih nipis. Seterusnya, tablet ini turut menggunakan skrin 120Hz yang boleh ditetapkan pada resolusi 2K. Tidak habis di situ, poster turut mendedahkan tablet berkenaan akan dikuasakan oleh cip Snapdragon 860. Dalam pada itu, terdapat juga satu lagi model Mi Pad 5 yang akan dijana oleh cip Snapdragon 870. Menurut sumber, ia juga dijangka diperkenalkan lebih awal berbanding versi Snapdragon 860.

Imej Pengolokan Tular Sebelum Ini

Selain daripada tablet-tablet tersebut, Xiaomi turut bakal hadir dengan beberapa lagi produk lain seperti Mi 11 CC 11 dan Mi MIX 4. Kesemua produk berkenaan juga dikhabarkan telah melepasi laman 3C di China. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut berkaitan perkara ini. 

Sumber : Gizmochina

Komen