Malaysia Mungkin Memberikan Suntikan Dos Tambahan Vaksin Covid-19 Secara Percuma Pada Tahun 2022

Diterbitkan pada July 29, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Gelombang ketiga yang melanda dunia sekarang adalah diakibatkan oleh varian Delta dengan kadar kebolehjangkitan sehingga 60% lebih tinggi berbanding varian Alpha yang asal. Akibatnya Pfizer menyarankan pemberian dos tambahan diberikan bagi meningkatkan kadar keberkesanan vaksin mereka untuk tempoh lebih panjang.

Di Dewan Negara semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata dos tambahan vaksin mungkin akan diberikan pada tahun 2022 dan kekal percuma di bawah program PICK. Keputusan untuk memberikan dos tambahan ataupun tidak akan diumumkan minggu hadapan selepas mendapatkan pendapat dari pakar terlebih dahulu.

Vaksin Covid

Khairy juga berkata dos tambahan kelak mungkin adalah secara heterologus di mana vaksin yang lain dari yang diterima akan diberikan berdasarkan bekalan yang dimiliki negara. Dengan kata lain vaksin Pfizer akan diberikan kepada penerima vaksin Sinovac. Pemberian dos vaksin yang bercampur-campur ini telah dilakukan di Jerman dan Korea Selatan tanpa sebarang kesan sampingan negatif dilaporkan setakat ini. Sebelum ini Khairy menjawab negara telahpun memesan bekalan yang cukup untuk 130.3% penduduk Malaysia.

Kajian yang telah diterbitkan sebelum ini mendapati vaksin Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca masih berkesan untuk menentang varian Delta sekiranya penerima mendapat dua dos lengkap. Sungguhpun begitu Pfizer menyarankan suntikan dos tambahan kini diberikan selepas enam bulan untuk memastikan keberkesanan vaksin kekal melebihi 80%.

Gesaan mereka ini menerima kecaman dari Ketua Pengarah WHO yang mendakwa syarikat farmaseutikal kini hanya mementingkan keuntungan jualan ke negara kaya sehingga mengakibatkan kekurangan bekalan vaksin di negara ketiga.

Sumber Sinar Harian

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami