Samsung Galaxy A52 telah diperkenalkan sekitar bulan Mac yang lalu. Di Malaysia, terdapat dua variasi yang ditawarkan iaitu Samsung Galaxy A52 LTE pada harga RM1499. Manakala, Samsung Galaxy A52 5G pula berharga RM1899 untuk sebuah. Terkini, muncul pula spekulasi yang menyatakan Samsung Galaxy A52s bakal diumumkan tidak lama lagi.
Ia dikuatkan lagi beberapa tangkap layar tular yang menunjukkan telefon pintar tersebut telah ditemui di penyenaraian Geekbench. Sumber berkata, Samsung Galaxy A52s dipercayai hadir dengan cip Snapdragon 778G. Ini adalah cip yang sama boleh ditemui pada siri Honor 50 dan Realme GT Master Edition. Ia juga berkemungkinan menggunakan memori 8GB RAM dan Android 11.
Di samping itu, harga jualan Samsung Galaxy A52s turut didapati tertiris awal menerusi perkongsian laman 91Mobiles dan peniris maklumat Ishan Agarwal. Melaluinya, ia menunjukkan Samsung Galaxy A52s besar kemungkinan dijual di pasaran Eropah pada harga sekitar Euro449 (~RM2249). Buat masa ini, belum ada sebarang informasi berkaitan tarikh pelancaran rasmi peranti. Malah, pihak Samsung sendiri belum membuka mulut berhubung perkara ini. Sama-sama kita nantikan perkembangan lebih lanjut.
Sumber : Ishan Agarwal, 91 Mobiles