Dalam dunia aeronautik pesawat yang mampu terbang menegak secara lazimnya tidak mampu terbang pada kelajuan tinggi. Pesawat berkelajuan tinggi pula, tidak mampu terbang menegak. Apabila dua spesis pesawat ini cuba digabungkan, ada kompromi perlu diambil seperti yang dapat dilihat pada pesawat BAe Harrier. Sebagai syarikat helikopter terkemuka dunia, Bell sudah mencuba pelbagai konfigurasi pesawat yang mampu memberikan kemampuan VTOL dan kini mereka memperlihatkan pula konsep untuk pesawat terbang menegak berkelajuan tinggi (HSVTOL).

Tiga konsep HSVTOL yang diperlihatkan dengan dua daripadanya mempunyai kokpit untuk juruterbang dan satu lagi dalam bentuk dron. Ketiga-tiganya dilengkapi sistem dwi tujahan. Sepasang enjin berkipas untuk membolehkan penerbangan dan pendaratan secara menegak dan satu lagi sistem enjin jet untuk penerbangan mendatar berkelajuan tinggi.

Tiga bilah kipas pada dua enjin di bahagian sayap melipat ke belakang apabila dalam mod penerbangan mendatar. Sekilas pantang ia menyerupa rekaan Bell V-22 Osprey dan Bell V-280 Valor yang telahpun beroperasi. Dengan kipas boleh dilipat, pesawat diramalkan boleh terbang pada kelajuan 740 km/h yang lebih laju berbanding 5129 km/j yang mampu dicapai V-280 Valor.
Pesawat dengan sistem kipas yang boleh lipat setakat ini hanya dilihat pada rekaan teksi terbang termasuk yang digunakan oleh Hyundai dan Uber. Bell menjadi syarikat pertama yang membangunkannya untuk kegunaan ketenteraan dan sekaligus merealisasikan pesawat Switchblade dari siri animasi M.A.S.K yang popular di dekad 1980an.