Samsung Galaxy Z Fold3 telah dilancarkan secara rasmi malam tadi bersama dengan Samsung Galaxy Z Flip3. Samsung lebih berani tahun ini dengan pengenalan dua peranti skrin boleh-lipat premium secara serentak. Tetapi dengan bukan mereka sahaja menawarkan skrin boleh-lipat, Samsung perlu memperkenalkan ciri baharu bagi menarik minat pembeli. Bagi memudahkan anda menilai sendiri sama ada Z Fold3 berbaloi ataupun tidak, kami senaraikan 10 perkara paling menarik mengenainya hari ini.
1. Spesifikasi Mercu Sebenar – Snapdragon 888, 12GB RAM LPDDR5 dan storan UFS 3.1

Ramai peminat Snapdragon di Malaysia berbanding Exynos. Dapat dilihat nada kekecewaan pada komen yang ditinggalkan pembaca apabila siri Galaxy S21 di Malaysia menggunakan cip Exynos. Walaupun Exynos 2100 dan Snapdragon 888 mempunyai prestasi yang hampir setanding, Snapdragon lebih baik dalam pengawalan suhu terutamanya ketika menjalankan permua.
Dengan Snapdragon 888 sahaja digunakan pada Z Fold3, tiada isu wujud dua versi peranti yang sama untuk pasaran berbeza. Tambahan lagi Z Fold3 ditawarkan dengan pilihan 12GB LPDDR5 RAM yang besar dan storan sehingga 512GB UFS 3.1, pemproses yang bagus dipadankan pula dengan spesifikasi tahap mercu yang setanding. Dari segi spesifikasi, Samsung lebih “Never Settle” kali ini berbanding OnePlus.
2. Rekaan Yang Lebih Padat dan Kemas

Antara isu kami pada Z Fold2 dan Galaxy Fold ialah apabila dalam posisi dilipat ia masih lebih dua kali ganda lebih tebal berbanding telefon pintar candybar biasa. Ini membuatkannya tidak selesa diletakkan pada poket seluar. Rasa seperti poket ingin koyak dan kami menyimpan bekas penyimpan pensel sekolah sepanjang hari.
Pada Z Fold3, mekanisme engsel dan tubuh dikemaskini bagi membolehkan penutupan lebih rapat pada skrin. Peranti masih lagi lebih tebal berbanding telefon candbybar tetapi terdapat pengurangan 0.8mm yang ketara. Disamping itu dengan bahagian bingkai yang lebih rata, peranti terasa lebih tegap dan sedap di dalam tangan. Tiada isu takut ia tergelincir kerana sisi bulat yang licin pada dua model terdahulu.
3. Akhirnya Kalis Air IPX8

Semasa mengulas Galaxy Z Fold2 dan Galaxy Fold, saya sering dilanda ketakutan. Takut ketika diletakkan di atas meja di restoran ada lopak air dan takut ketika berjalan di luar tiba-tiba hujan turun dengan lebat seperti tangisan anak yatim kerana Covid-19. Kedua-dua peranti yang ultra-mahal ini tidak mempunyai sebarang piawaian kalis air secara rasmi.
Pada Z Fold3 dan Z Flip3 tahun ini, kedua-dua peranti melepasi piawaian IPX8. Boleh ditenggelamkan selama 30 minit sehingga 1.5 meter. Ini setanding dengan Galaxy S21 dan Note 20. Pada hemat kami telefon pintar moden wajib menyokong kemampuan kalis air pada kelas pertengahan ke atas. Barulah pengguna tidak risau peranti rosak hanya kerana air.
4. Sokongan 120Hz Pada Semua Skrin

Skrin luar dan dalam boleh-lipat Z Fold3 menyokong kadar segar semula adaptif 120Hz. Selepas dua tahun membiasakan diri dengan skrin 120Hz, kami sudah tidak boleh lagi kembali ke skrin 60Hz. Animasi nampak lebih lancar dan pengguna terasa lebih selesa dengan kadar segar semula yang tinggi ini. Dengan skrin luar dan dalam mempunyai kadar segar semula yang sama, tiada isu seperti tahun lalu kerana skrin luar masih sekadar 60Hz.
5. Sokongan Stylus S Pen Tiba

Saya secara peribadi ialah peminat tegar siri Galaxy Note. Saya juga antara individu yang menandatangani petisyen supaya Samsung tidak menghentikan pengeluaran Note pada tahun 2022. Sebab mengapa pada hemat saya siri Note masih tiada galang ganti telahpun saya titipkan pada artikel yang diterbitkan beberapa minggu yang lalu.
Pada Z Fold3 kerinduan pada Note sedikit terubat kerana sokongan S Pen diberikan sekaligus menjadikan ia peranti skrin boleh-lipat pertama menyokong stylus Wacom. Jika sokongan S Pen pada skrin besar penting bagi anda tetapi Tab S7 terlalu besar, Z Fold3 ialah pilihan paling maakul.
6.Dermaga Aplikasi Seperti Komputer Desktop

Adakah Z Fold3 sebuah telefon pintar, tablet atau phablet? Ini ialah soalan yang tidak dapat dijawab dengan muktamad kerana perisian yang belum cukup matang. Dalam mod telefon pintar aplikasi nampak janggal kerana terlalu besar dan dalam mod tablet pula janggal kerana tidak benar-benar menggunakan skrin sepenuhnya. Tahun ini Z Fold3 hadir dengan diri dermaga baharu yang boleh diletakkan pada sisi skrin sepanjang masa.
Dermaga ini sama seperti dermaga DeX, Windows 11 dan macOS yang sentiasa dapat dilihat tanpa mengira aplikasi apa yang dibuka. Walaupun kami baru menggunakan Z Fold3 selama 10 jam, dermaga ini benar-benar memudahkan proses multi tugas dengan penukaran aplikasi yang lebih pantas serta intuitif dapat dilakukan. Sebagai seorang heavy user, dermaga ini ialah ciri terbaik pada Z Fold3 setakat ini.
7.Multi Aplikasi Yang Sama Pada Tetingkap Berbeza

Selain dermaga satu lagi ciri baharu yang diperkenalkan menerusi One UI 3.1.1 ialah membuka aplikasi yang sama pada dua tetingkap berbeza dalam mod Split Screen View. Pengguna boleh membuka pautan laman dalam Chrome atau Samsung Internet pada tetingkap kedua. Ini amatlah berguna untuk melakukan perbandingan harga barangan dari dua laman edagang misalnya tanpa perlu bertukar-tukar tab seperti sekarang. Ciri ini juga disokong pada aplikasi Microsoft Office
8. Sokongan Lebih Banyak Aplikasi Dengan Labs

Kerana nisbah skrin yang aneh serta pengenalan ciri Flex Mode tahun lalu, ramai merungut sesetengah aplikasi tidak disokong dengan baik. Hanya aplikasi yang dibangunkan oleh Samsung dan rakan rasmi seperti Google, Spotify dan Microsoft boleh digunakan tanpa masalah. Selepas tiga tahun isu aplikasi tidak serasi diselesaikan dengan menggunakan ciri Labs terkini. Aplikasi boleh dipaksa untuk menyokong Flex Mode, dibuka pada multi tetingkap dan banyak lagi dengan hanya mengaktifkannya dalam Labs. Selepas ini isu aplikasi tidak disokong sepenuhnya dapat diselesaikan.
9. Kamera Bawa Skrin Pertama Pada Skrin Boleh-Lipat

Kamera bawah skrin (UDC) telah wujud sejak tahun lalu selepas diperlihatkan sebagai prototaip oleh Oppo dan dipasarkan secara komersial oleh ZTE dan Xiaomi. Samsung tidak mahu ketinggalan dalam memperkenalkan teknologi UDC pada peranti mereka dan Z Fold3 memegang status sebagai peranti skrin boleh-lipat pertama dengan teknologi UPC di dunia. Dengan UDC isu kandungan video tidak dapat ditonton menggunakan seluruh skrin kerana wujudnya lubang kamera diselesaikan.
10. Sokongan Sistem Operasi Selama Tiga Tahun

Akhir sekali ialah Z Fold3 akan menerima sokongan kemas kini perisian selama tiga tahun. Dengan harga jualan pastinya melangkaui RM7000, pembeli pasti mahukan sokongan perisian yang lebih lama serta komprehensif. Tiada lagi kerisauan tiada tampalan sekuriti yang mendedahkan pengguna kepada kerentanan yang boleh mengakibatkan kerugian besar.
Jadi adakah kesemua ciri-ciri menarik ini cukup untuk membuatkan anda melakukan pembelian Samsung Galaxy Z Fold3 tahun ini? Apakah ciri paling menarik atau kami ada tertinggal ciri yang anda rasakan paling utama? Nyatakan pendapat anda di ruang komen di bawah.