Samsung Galaxy Watch4 kini sudah rasmi. Ia dijual di Malaysia pada harga bermula RM899, yang mana agak menarik untuk sebuah jam tangan pintar Wear OS terkini dengan perisian terkini dijual pada harga kompetitif. Galaxy Watch4 hadir dengan dua saiz sama ada 40mm atau 44mm dengan saiz skrin 1.19″ atau 1.36 panel AMOLED.

Cip pemprosesan adalah Exynos W920 dengan gandingan memori 1.5GB RAM dan 16GB storan dalaman. Model Classic kekal dengan bezel boleh-putar sementara model biasa bergantung kepada skrin sesentuh sepenuhnya. Bateri pula adalah mencapai sehingga 361 mAh.
Seperti biasa kaedah pengecasan Galaxy Watch adalah secara nirwayar melalui pengecas khas atau peranti Samsung dengan fungsi pengecasan nirwayar berbalik. Jam ini menggunakan teknologi Qi yang diubahsuai. Tetapi pihak 9to5Google menemui yang Galaxy Watch4 boleh dicas pada Pixel 5 melalui Battery Share dan pada beberapa pengecas nirwayar Qi terpilih.

Tidak pasti apakah kuasa pengecasan dan apakah kehendak yang diperlukan untuk jam ini boleh dicas pada mana-mana pengecas Qi, kerana pada OnePlus 9 Pro dan ada jenama lain pengecas tidak boleh mengecas jam ini.
Cuma, agak menarik untuk melihat Samsung membuka kebolehan ekosistem mereka kepada luar untuk kembangkan lagi pengguna. Lebih-lebih lagi dengan Galaxy Watch4 yang dilihat cuba menarik pengguna Android lain menggunakannya.