Cari @ Amanz

Xiaomi Mi 10T adalah antara peranti mercu mampu milik terbaik yang Xiaomi pernah hasilkan. Ia juga mempunyai skrin LCD yang terbaik dalam kelasnya. Dengan harga jualan yang kompetitif, peranti ini berjaya memikat hati orang ramai dan menjadi perbualan hangat di sosial media.

Awal bulan ini, peranti Mi 11T Pro telah memasuki SIRIM memberi petanda ia akan tiba tidak lama lagi. Terkini, spesifikasi Mi 11T pula tertiris dan memberi sedikit petanda mengenai pengganti siri Mi 10T ini.

Pertama sekali, peranti ini dikatakan adalah penjenamaan semula daripada Redmi K40 Ultra yang masih belum dilancarkan lagi. Peranti ini akan dijana dengan cip MediaTek baharu, kemudian akan mempunyai tetapan tri-kamera 108MP HM2 bersama sensor sudut ultra lebar dan telemakro 3x. Tetapi pada Mi 11T sensor kamera utama adalah 64MP OV64B.

Pada skrin, ia dilihat menggunakan nisbah paparan 20:9 dengan sokongan kadar segar semula 120Hz. Dengan penggunaan semakin meluas pada lebih banyak peranti Xiaomi, sensor ambien cahaya untuk mod auto cerah 360 darjah pasti akan kembali. Panel skrin walau bagaimanapun masih tidak pasti OLED atau LCD.

Memandangkan SIRIM hanya menyenaraikan Mi 11T Pro dan tiada Mi 11T, masih tidak pasti pasaran Malaysia terhad pada satu pilihan atau kelak akan ada kedua-duanya sekali. Apa-apa pun, pelancaran semakin hampir dan ianya mungkin akan diperkenalkan bersama Mi Pad 5 yang turut baru dilancarkan dan sudah ada di SIRIM.

Sama-sama kita nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd