Februari lalu, Microsoft telah melancarkan Xbox Wireless Headset. Ia adalah set fon kepala nirwayar dengan rekaan mirip Surface Headphone 2. Ini bermakna, kedua-dua bahagian cawan telinga boleh diputar untuk kawalan tambahan yang memudahkan.
Terkini, Microsoft telah melancarkan pula versi dengan wayar – Xbox Stereo Headset. Beza paling ketara adalah ia mempunyai kabel dengan bicu audio 3.5mm untuk disambungkan pada alat kawalan Xbox atau mana-mana port sambungan yang sama. Kemudian, bahagian cawan telinga di kiri tidak mempunyai tombol boleh putar dan terhad pada kanan sahaja.

Set fon kepala ini sedia menyokong Dolby Atmos, Windows Sonic, DTS:X dan juga audio spatial untuk pengalaman pendengaran yang lebih imersif. Microsoft menjanjikan kualiti audio dengan mid dan high yang lebih jelas serta bass yang lebih kuat.

Xbox Stereo Headset akan dijual bermula 22 September akan datang di Amerika Syarikat. Harga jualan juga adalah hampir separuh lebih murah, iaitu $59.99 (~RM254).