Cari @ Amanz

Adakah anda merindui teman-teman sepejabat sejak dipaksa bekerja dari rumah (BDR)? Adalah proses pengurusan pasukan tidak optimum kerana sistem telesidang hanya sekadar dua dimensi? Jika jawapan anda ialah ya kepada kedua-dua soalan ini, Horizon Workrooms telah diumumkan oleh Facebook awal pagi ini.

Horizon Workrooms ialah bilik mesyuarat dalam dunia maya yang direka untuk pengguna Oculus Quest 2. Pengguna boleh melakukan mesyuarat di dalam bilik maya dengan diri digantikan dengan avatar yang juga dalam bentuk tiga dimensi.

Keunikan Horizon Workrooms ialah ia membenarkan pengguna mengintegrasikan papan kekunci dan tetikus dunia sebenar dalam dunia maya menerusi aplikasi Windows dan Mac. Pergerakan tangan pengguna juga dipaparkan dengan tepat dalam dunia maya menerusi sistem penjejakan tangan dan jari yang disokong Oculus sejak Mei tahun lau. Oleh itu semasa melakukan pembentangan penonton dapat merasakan seperti berinteraksi dengan manusia sebenar.

Kerana menggunakan bilik mesyuarat maya, saiz skrin untuk melakukan pembentangan boleh diubah saiznya mengikut keperluan. Oleh itu skrin gergasi maya boleh digunakan tanpa had seperti bilik mesyuarat fizikal. Terdapat beberapa tema bilik mesyuarat boleh dipilih sekali lagi mengikut citarasa pengguna.

Bagi membolehkan peserta mesyuarat maya menyelami dunia dengan lebih mendalam, sokongan audio spatial turut diberikan. Audio akan datang dari arah seperti avatar benar-benar berada di depan peserta. Horizon Workrooms menyokong sehingga 16 peserta dengan sokongan avatar realiti maya. Bagi mereka yang tidak mempunyai Quest 2, mereka masih boleh menghadiri sesi mesyuarat dalam bentuk video sehingga 50 peserta kesemuanya.

Akhir sekali Horizon Workrooms turut menyokong integrasi Google Calendar dan Outlook secara natif untuk memudahkan penggunaan sistem pengurusan pejabat sedia ada.

Horizon Workroom boleh diakses menerusi workrooms.com. Setelah mendaftar aplikasi dapat dimuat turun ke Quest 2 untuk memulakan mesyuarat dalam dunia maya sebenar.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd