Carian
Nubia RedMagic 6S Pro Akan Dilengkapi Cip Snapdragon 888+, Skrin 165Hz
August 23, 2021 Amy Maizuraa

Selepas hadir dengan penawaran Nubia Red Magic 6, Red Magic 6 Pro dan Nubia RedMagic 6R , kini jenama ini dalam perancangan untuk sebuah lagi model baharu di bawah siri berkenaan. Dikenali sebagai Nubia Red Magic 6S Pro, pengenalannya kini telah diacah menerusi sebuah poster pelancaran rasmi yang dimuat naik oleh Nubia di laman Weibo.

Memetik maklumat dikongsi, pelancaran untuk telefon pintar ini dijadualkan berlangsung di China pada 6 September depan. Beberapa spesifikasi utama pada telefon pintar turut diperlihatkan pada poster berkenaan. Di mana, Red Magic 6S Pro akan dilengkapi skrin dengan kadar segar semula 165Hz. Di samping, sokongan cip pemprosesan terkini daripada Qualcomm iaitu Snapdragon 888 Plus. Tidak habis disitu, imej turut menunjukkan bahawa ia akan dilengkapi sistem tri-kamera utama yang masih belum dikongsi mengenai konfigurasi lensanya.

Dalam perkembangan lain, terdapat spekulasi yang mengatakan ia adalah telefon pintar dengan model nombor NX699J-S yang telah melepasi laman 3C di China sebelum ini. Dalam pada itu, ia juga dipercayai dibekalkan sokongan pengecasan pantas sehingga 120W dan besar kemungkinan mempunyai beberapa persamaan untuk aspek spesifikasi dalaman seperti model RedMagic 6 Pro .

Sumber : Weibo

Komen