Realme 8i Mungkin Menggunakan Cip MediaTek Helio G96, Kamera Utama 50MP

Diterbitkan pada Ogos 25, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

CEO Realme India, Madhav Sheth dilihat mula mengacah kehadiran beberapa telefon pintar baharu di bawah siri Realme 8 dalam sebuah wawancara, baru-baru ini. Ianya tediri dengan Realme 8s dan Realme 8i yang dijangka akan diperkenalkan tidak lama lagi. Cumanya buat masa sekarang, Madhav dikatakan ingin tahu model mana satu yang mahu dilihat oleh para pengguna terlebih dahulu.

Jika sebelum ini, kita telah melihat informasi tentang Realme 8s yang muncul dalam beberapa imej pengolokan tular. Kini, giliran Realme 8i pula dan ia dipercayai menjadi versi lebih murah bebanding model Realme 8 terdahulu. Panel hadapan kelihatan kemas dengan penggunaan skrin berlubang lubang untuk perletakan kamera swafoto tunggal. Saiz bezel yang nipis digunakan pada bahagian atas dan sisi, tetapi masih memperlihatkan kewujudan dagu yang agak tebal pada bahagian bawahnya.

Kemudiannya, Realme 8i juga akan mempunyai sistem tri-kamera d belakang dengan susunan 2X2 sama seperti yang boleh dilihat pada model siri Realme 8 yang lain. Sisi kanan menempatkan pengimbas cap jari yang terbina pada butang kuasa. Sisi bertentangan adanya butang laras audio dan ruang slot SIM. Realme 8i juga akan dibekalkan dengan bicu audio 3.5mm yang diletakkan pada bahagian bawah bersama-sama port USB Type-C dan pembesar suara mono.

Spekulasi awal mendakwa, Realme 8i dipercayai hadir dengan skrin beresolusi FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Ia juga besar kemungkinan dikuasakan oleh cip MediaTek Helio G96 yang dipadankan dengan memori 4GB RAM dan storan dalaman 128GB. Kamera utamanya pula adalah sebesar 50MP, manakala kamera swafoto pula 16MP. Bateri sebesar 5000mAh dijangka akan turut disertakan dengan sokongan pengecasan sekurang-kurangnya 30W.

Sumber : OnLeaks

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami