Penantian selama empat tahun untuk Bose QuietComfort 35 II dikemaskini telah berakhir dengan pelancaran Bose QuietComfort 45 sebentar tadi. Fon kepala yang memulakan trend pembatalan hingar ANC pada produk penggunaan orang ramai ini telah dikemaskini dengan bateri yang boleh bertahan sehingga 24 jam, mod Aware, port USB-C dan penambahbaikan pada kemampuan audio.

Dari luar rekaan tidak banyak berubah dengan QC35 II. Keseluruhan fon kepala masih lagi diperbuat daripada plastik dalam pilihan warna tradisi Bose iaitu hitam dan putih. Terdapat mikrofon tambahan diberikan pada fon kepala untuk pembatalan hingar lebih baik dan mod percakapan yang lebih terang.
Sokongan tambatan bluetooth 5.1 dan berwayar dengan kabel 2.5mm ke 3.5mm disertakan dengan setiap pembelian. Terdapat ciri ditambat kepada dua perantis serentak dan butang kawalan fizikal pada cawan telinga. Kawalan profil audio yang lebih jitu dapat dilakukan menerusi aplikasi Bose Music App.

Masa pengecasan adalah 2.5 jam dengan hayat operasi sehingga 24 jam dengan ANC diaktifkan. Ini adalah tidak sebaik Sony WH-1000XM4 yang boleh beroperasi sehingga 30 jam dengan ANC diaktifkan.
Seterusnya terdapat butang khas untuk menyeru pembantu maya Google Assistant atau Siri. Bose QuietComfort 45 akan mula dijual pada 23 September pada harga $329 (~RM1367) sepasang lengkap dengan beg simpanan, kabel pengecas USB-C dan kabel sambungan audio berwayar.