Cari @ Amanz

Pada tahun 2017, dianggarkan setiap satu dari enam kematian dunia adalah diakibatkan oleh kanser. Ia adalah penyakit kedua paling membunuh selepas penyakit kardiovaskular. Ia adalah penyakit yang agresif dan menyeksakan. Makan pembangunan vaksin kanser sedang diusahakan oleh pelbagai pihak. University of Oxford dan Ludwig Institute for Cancer Research mengumumkan hujung minggu lalu ia akan memulakan ujian vaksin kanser ke atas manusia pada penghujung 2021.

Vaksin kanser ini dibangunkan menggunakan teknologi yang sama dengan vaksin Oxford-AstraZeneca yang digunakan untuk menentang virus SARS-CoV-2. Dalam ujian yang dilakukan di makmal, suntikan dua dos vaksin mengurangkan saiz tumor pada tikus dan meningkatkan keberkesanan rawatan imunoterapi. Penyelidik percaya kesan positif yang sama turut boleh dilihat sekiranya rawatan diberikan kepada manusia.

Suntikan vaksin akan meningkatkan jumlah sel-T yang kemudiannya menyerang tumor. Rawatan imunoterapi pula menjadi semakin berkesan kerana ia memerlukan sel-T yang tinggi pada tubuh pesakit untuk berfungsi.

Satu kesan positif pandemik Covid-19 ialah ia turut memajukan kajian pembangunan vaksin menentang kanser. Seperti kami laporkan sebelum ini, saintis yang membangunkan vaksin Pfizer-BioNTech sedang membangunkan vaksin menentang kanser menggunakan teknologi mRNA.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd