Cari @ Amanz

Google Pixel adalah peranti yang menarik. Lebih-lebih lagi Pixel siri A yang dijual pada harga lebih mampu milik. Ia menjalankan sistem Android asli dengan pelbagai aplikasi Google, mempunyai kemampuan kamera yang memuaskan, bersaiz kompak dan juga mempunyai prestasi yang baik dalam kelasnya.

Tetapi disebabkan peranti ini tidak dijual secara rasmi di Malaysia, harga jualannya menjadi agak mahal. Pixel 4a contohnya, harga di Amerika Syarikat adalah sekitar RM1450 jika mata wang ditukar secara terus. Tetapi penjual menjual set import terpaksa menjual pada harga yang lebih mahal.

Bercakap mengenai harga mahal, sebuah syarikat di Jerman yang dikenali sebagai NitroKey menjual Pixel 4a yang diubahsuai pada harga melebihi RM3100. Peranti ini adalah NitroPhone 1. Peranti ini tidak menjalankan Android asli daripada Google, sebaliknya menjalankan custom ROM GrapheneOS yang memfokuskan privasi dan sekuriti.

Ia tiada GMS, pin sekuriti boleh dirombak, peranti boleh dimatikan secara automatik jika dikesan tidak aktif dalam sesuatu tempoh dan ia mempunyai perlindungan penjejakan daripada IMEI, alamat MAC dan data-data dicuri. Pengguna juga boleh meminta NitroKey membuang mikrofon pada peranti jika tidak ingin audio sentiasa dirakam oleh aplikasi.

Malah, jika pengguna ingin menggunakan aplikasi-aplikasi Google – ia akan dipasang di dalam sandbox untuk perlindungan tambahan. NitroKey memilih peranti ini kerana ia mempunyai cip sekuriti Google Titan M terbina yang memanfaatkan pelbagai ciri sekuriti dan privasi daripada custom ROM tadi.

Pada mereka yang skeptikal dengan ciri privasi dan sekuriti yang ditawarkan Google dan sudah sedia memiliki Pixel 4a, custom ROM ini boleh dipasang secara percuma. Pemasangan juga adalah sangat mudah, kerana boleh dipasang melalui web sahaja yang mana setakat ini terhad pada peranti Pixel sahaja.

Apa kata anda mengenai peranti kelas pertengahan asas Google yang diubahsuai ini yang dijual sehingga lebih RM3100?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd