Tanggal 1 November 2019, Apple TV+ dilancarkan menandakan kemasukan Apple ke arena penawaran perkhidmatan penstriman video bulanan berbayar setelah sekian lama hanya menawarkan penstriman kandungan yang dijual secara satu persatu. Pelancaran dilakukan selepas berbulan ura-ura didengari bahawa Apple akan mengambil alih sahaja Netflix namun ini tidak berlaku.
Pada April 2020, dunia terhenti dengan hampir semua negara mengumumkan penutupan industri dan orang ramai diminta duduk diam di rumah bagi merendahkan lekuk pandemik. Secara serta merta perkhidmatan penstriman video mendapat kesan positif sedangkan industri lain terjejas teruk. Netflix dan Disney+ mengaut keuntungan luar biasa dengan jumlah pelanggan baharu mencanak naik melebihi sasaran awal.
Tetapi dalam kegembiraan Netflix dan Disney+, wujud platform yang ketinggalan di belakang. Quibi dilancarkan ketika wabak khusus untuk tontonan pada telefon pintar dan perkhidmatan dihentikan dalam masa enam bulan selepas dilancarkan. Apple TV+ pula hanya menunjukkan peningkatan langganan yang kecil dibantu oleh penawaran percuma selama setahun dan berkas Apple One yang lebih murah.
Kita tahu Quibi gagal kerana orang duduk di rumah ingin menonton rancangan di TV besar. Penawaran video pendek mereka tidak kongruen dengan kehendak pasaran. Tetapi apa pula kesilapan Apple TV+? Ada yang mengatakan kandungan tetapi kita tahu Ted Lasso, Morning Show, For All Mankind dan Mythic Quest adalah antara kandungan menarik yang menerima anugerah.
Jawapan kepada mengapa Apple TV+ tidak mendapat sambutan seperti iPhone, iPad Pro, MacBook M1, Apple Watch dan AirPods sebenarnya mudah dan dapat dilihat dalam masa lima minit anda cuba menggunakannya.
Puan-puan dan tuan-tuan, sebab utama Apple TV+ gagal mendapat perhatian pengguna adalah kerana antaramuka pemain videonya antara yang paling teruk dalam sejarah penstriman video. Pilih satu video untuk ditonton sekarang. Kira berapa saat sebelum video akan dimainkan. Di rumah ini saya menggunakan Internet pada kelajuan 500 MBbps dan masih ada buffering sekitar 5-6 saat sebelum video dimainkan apabila dimainkan pada sebuah televisyen Android TV/Tizen OS. Ini tidak saya alamai pada YouTube, Netflix dan Disney+ Hotstar yang secara purata mengambil masa 2 saat untuk menstrim kandungan 4K.
Pengalaman penstriman yang pantas tanpa masa menunggu yang lama hanya dapat saya nikmati pada MacBook, iPad dan iPhone. Dari pertanyaan dengan rakan penstriman yang baik juga ditawarkan oleh Apple TV 4K dan Apple TV HD. Pengalaman yang berbeza-beza bergantung kepada peranti adalah mengecewakan kerana pengalaman menggunakan Netflix di platform berbeza adalah sama rata dari pengalaman peribadi saya sendiri.
Kemudian cuba kedepankan sedikit video (scrubbing) untuk mencari babak yang ingin ditonton. Proses untuk memainkan video dengan cepat adalah amat menyakitkan. Kelajuan maksimum ialah hingga 4X kali sahaja. Bayangkan anda ingin menonton film Lord of The Rings : The Return of The King Extended Cut yang hampir 4 jam dan perlu menekan butang forward selama beberapa minit kerana pemain video Apple TV tidak hadir dengan ciri momentum.
Apa itu ciri momentum? Selepas ditekan melebihi tiga saat, pemain video memahami penonton ingin melangkau ke depan dengan lebih pantas. Proses untuk scrubbing terus 80 minit ke hadapan adalah pantas di YouTube dan Netflix kerana ciri momentum ini.
Disney+ Hotstar juga melakukan dosa yang sama seperti Apple TV+ tetapi mereka dimaafkan kerana semasa melakukan proses scrubbing dapat dilihat thumbnail kecil supaya kita tahun di mana kita berada. Di Apple TV+ sudahlah scrubbing perlahan, thumbnail juga lambat muncul. Secara purata selepas menekan butang ke hadapan selama 3 saat barulah prebiu babak yang memenuhi seluruh skrin dapat dilihat.
Jika babak yang ingin dicari tidak dipaparkan prebiunya dalam masa 3 saat yang saya katakan tadi, tiada siapa dapat membantu anda . Mengapa thumbnail kecil yang menjadi standard industri tidak digunakan Apple TV+ adalah misteri yang tidak terjawab seperti mengapa port pengecasan Magic Mouse 2021 masih lagi di bahagian bawah dan bukan di hadapan. Mungkin hanya Steve Jobs, Jony Ive dan Tim Cook yang tahu jawapannya.
Seterusnya ialah antaramuka pemain video yang tidak mesra pengguna. Bagaimana menukar audio dan sari kata? Saya tahu di Apple TV+, menu akan muncul di atas skrin. Maka dalam otak saya berfikir tekan anak panah atas pada alat kawalan jauh. Tetapi sebenarnya saya perlu menekan anak panah bawah pada alat kawalan jauh. Bagaimana pula untuk memainkan video dari awal? Tekan butang back terlebih dahulu dan kemudian pilih ‘play from beginning’.
Dua sistem berbeza untuk memaparkan menu kawalan pemain video. Di Netflix tekanlah butang atas atau bawah, menu kawalan akan terpapar pada skrin. Butang untuk main semula video dari awal juga dapat dilihat jelas lengkap dengan tajuk kandungan yang ditonton (kerana kadang kala saya tertidur sehingga tidak tahu episod nombor berapa sedang dimainkan di TV).
Keseluruhan antaramuka Apple TV dan Apple TV+ masih tersekat di zaman iTunes dan QuickTime Player yang sudah boleh dikategorikan sebagai kuno. Direka untuk orang yang menggunakan tetikus pada komputer dan bukannya alat kawalan jauh dengan D-Pad empat arah.
Jika Apple TV+ tidak diberikan bersama dengan iCloud, Apple Arcade dan Apple Music pada harga yang amat murah, saya tidak rasakan saya boleh bersabar dengan pemain video paling teruk untuk perkhidmatan penstriman berbayar di pasaran.
Jika Apple serius ingin mencabar Netflix, Disney+ Hotstar dan YouTube Premium mereka perlu membaiki pemain video pada kadar segera. Bayar sahaja lesen untuk menggunakan UI yang dibangunkan oleh Netflix kerana tanpa pemain video yang semenggah, tiada siapa akan sanggup untuk menonton kandungan menarik yang ingin ditawarkan oleh Apple TV+. Kalau dengan 87 kandungan asli Apple TV+ sekarangpun sudah menyeksakan, bayangkan jika mereka menawarkan ribuan kandungan seperti Netflix.