Carian
Giliran Motorola Pula Memperlihat Teknologi Pengecasan Nirwayar Sebenar – Motorola Air Charge
September 8, 2021 Fahim Zahar

Sekitar 130 tahun lalu, Nikola Tesla berjaya memperlihatkan teknologi aruhan gegelung di mana beberapa biji mentol berjaya dihidupkan dengan sumber kuasa sejauh 48 kilometer. Ia boleh dikatakan sebagai teknologi sumber kuasa nirwayar pertama. Sehingga hari ini, teknologi ini masih lagi diuji dan belum bersedia diperkenalkan kepada umum.

Ingat lagi Wi-Power atau WattUp? Sudah lama mereka menyepi. Awal tahun ini, Xiaomi telah memperlihatkan konsep moden bagi teknologi yang mengambil inspirasi Nikola Tesla ini. Ia adalah Mi Air Charge atau Xiaomi Space Charging.

Terkini, giliran Motorola pula memperlihatkan teknologi lebih kurang sama melalui Motorola Air Charge. Motorola menggunakan pemancar mmWave yang boleh mengecas empat peranti serentak pada jarak 80-100 sm. Ia mempunyai 1600 antena dan peranti yang sedang dicas boleh dicas tanpa sebarang halangan walaupun ada objek di antara pengecas dan peranti.

Motorola turut mendakwa yang teknologi mereka ini mempunyai sokongan pengesanan automatik, di mana apabila peranti berada sejauh 3 meter- ia sudah boleh dikesan dan peranti juga boleh berada dalam kedudukan sekitar kurang 100 darjah untuk proses pengecasan.

Untuk keselamatan tubuh badan manusia, jika pengguna berada di tengah-tengah antara pengecas dan peranti – proses pengecasan akan dihentikan untuk mengelak sebarang risiko yang tidak dijangka. Jelas sekali ini memberi petanda yang teknologi ini tidak boleh berada berdekatan dengan kanak-kanak yang degil dan ia belum bersedia.

Tetapi, Motorola menyatakan yang pengecasan udara-ke-udara ini akan ditambahbaik dengan sokongan pelbagai saiz antena berbeza, sokongan rangkaian banyak peranti, kecerdasan buatan Smart FM dan juga boleh mengecas peranti yang sedia menyokong pengecasan nirwayar Qi.

Motorola turut mendedahkan yang teknologi ini akan ditawarkan kepada umum pada bila-bila masa sahaja.

Komen