Samsung Mula Menguji One UI 4 Berasaskan Android 12 Untuk Pengguna Galaxy S21

Diterbitkan pada Sep 14, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Android 12 adalah sistem operasi terbaru daripada Google yang mengalami perubahan drastik. Sejak Android 9 sehingga Android 11, antaramuka adalah lebih kurang sama, kemudian ciri dan fungsi juga tidak banyak yang ditambah.

Dengan AOSP memberi petanda Android 12 akan tiba 4 Oktober ini, pengeluar seperti Samsung dilihat sudah bersedia menawarkan Android 12 kepada peranti mereka. Sudah semestinya, yang terawal menerima kemaskini ini adalah peranti yang lebih baru dan Samsung dilihat mula menawarkannya kepada pengguna siri Galaxy S21 dalam bentuk beta.

Menurut Samsung, One UI 4 yang berasaskan Android 12 ini akan menawarkan lebih banyak kemampuan kustomasi, serta kawalan terhadap privasi. Tambah Samsung lagi, One UI 4 juga akan memberikan pengalaman penggunaan lebihh unik kepada setiap individu. Samsung juga mendakwa mereka mendengar keluhan pengguna dan menjadikan One UI terkini ini lebih baik dan menepati citarasa semua.

Walaupun Samsung menyatakan ada pilihan kustomasi yang lebih banyak, termasuk pada mengubah skrin utama, ikon, tema dan lain-lain – penggunaan Material You berdasarkan imej yang dikongsi mungkin tidak digunakan. Material You adalah rekaan baharu serta tema yang boleh berubah mengikut imej latar pengguna. Tetapi Samsung mungkin akan menawarkan iterasi mereka tersendiri, seperti widget baharu.

Seperti pada Android 12 yang diumumkan sebelum ini, ia masih lagi memfokuskan pada privasi dan sekuriti dan mempunyai papan pemuka khas untuk kawalan serta pantauan oleh pengguna. Samsung dilihat turut menawarkan fungsi sama dengan iterasi mnereka seperti mana mereka lakukan pada Digital Wellbeing.

Buat masa ini One UI 4 hanya boleh diuji oleh pengguna Galaxy S21 di Amerika Syarikat sahaja. Sama-sama kita nantikan pengumuman lanjut.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami