Cari @ Amanz

Pembangunan kenderaan elektrik sel hidrogen dilakukan serentak dengan kenderaan elektrik berkuasa bateri. Kedua-dua sistem mempunyai kelebihan serta kekurangan masing-masing. Kenderaan dengan bateri dapat memecut lebih pantas kerana kuasa serta merta yang dapat diberikan oleh bateri tetapi jarak perjalanan terhad. Sel hidrogen tidak dapat memberikan kuasa serta merta tetapi memberikan jarak perjalanan yang lebih jauh.

Toyota adalah antara syarikat yang melakukan pelaburan besar dalam pembangunan sel hidrogen. Kini mereka memegang Rekod Dunia Guiness untuk perjalanan paling jauh dilakukan menggunakan kenderaan sel hidrogen menggunakan sebuah Toyota Mirai. Dalam masa dua hari, kereta berjaya melakukan perjalanan sejauh 1359 kilometer di Amerika Syarikat. Ia memintas rekod yang 1002 KM yang dicatatkan oleh Toyota sendiri juga menggunakan sebuah Mirai.

Yang menjadikan sistem hidrogen ini menarik ialah perjalanan yang jauh ini hanya menggunakan 5.65 kilogram hirogen yang mengambil masa hanya 5 minit untuk diisikan ke dalam tangki kenderaan. Mungkin kerana prestasi perjalanan yang lebih baik dan masa mengisi semula bahan api yang pantas inilah Petronas menumpukan perhatian menghasilkan hidrogen dan bukannya melabur ke teknologi bateri.

Sumber Toyota

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd