Cari @ Amanz

Seiring dengan Realme GT Neo2T dan Realme Q3s, jam tangan pintar baharu mereka turut dilancarkan – iaitu Realme Watch T1. Kali ini ia kelihatan lebih semenggah sedikit berbanding peranti boleh pakai mereka sebelum ini. Walaupun ia masih dijual pada harga mampu milik dan merupakan jam tangan pintar asas, nilai premium dan kelihatan sedikit mewah itu boleh dilihat pada jam kali ini.

Jam ini hadir dengan skrin berbentuk bulat AMOLED bersaiz 1.3-inci dengan kadar segar semula 50Hz beresolusi 416 x 416 piksel. Dibina dengan kerangka keluli tahan karat, serta direka untuk rasa ringan di tangan ketika memakainya. Ia juga menyokong panggilan telefon dan kawalan muzik melalui Bluetooth 5.2, sekitar 110 mod sukan dan beberapa pemantauan kesihatan seperti imbasan nadi, SpO2, penjejakan tapak dan juga sokongan GPS, GLONASS dan Galileo.

Untuk perlindungan ia hadir dengan sokongan 5ATM, bateri pula adalah 228mAh dengan ketahanan mencapai tujuh hari. Pengecasan pantas turut disertakan dengan 90% dalam masa 35 minit pengecasan sahaja. Jam ini turut menyokong NFC untuk pembayaran nirtunai di China, dan Realme menawarkan pelbagai pilihan muka jam termasuk sokongan Always-On Display.

Harga jualan adalah 699 Yuan, iaitu sekitar RM455 sahaja. Buat masa ini ia terhad di pasaran China dan tidak pasti sama ada akan dijual di Malaysia atau ia akan dijenamakan semula di bawah produk Dizo.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd