DJI ialah syarikat pengeluar dron nombor satu dunia dan mungkin bertanggungjawab mempopularkan penggunaannya di kalangan orang awam. Mereka bukan sahaja mengeluarkan dron tetapi juga gimbal dan kamera untuk perfileman seperti Ronin 4 yang baru sahaja diumumkan. Tetapi minggu ini pesuruhjaya FCC Amerika Syarikat, Brendan Carr menggesa supaya DJI dimasukkan ke dalam Covered List.

Covered List akan menyebabkan produk syarikat lebih sukar untuk memasuki pasaran A.S kerana dilihat mendatangkan risiko keselamatan kepada negara. Carr berkata DJI ialah “Huawei bersayap” kerana data gambar, video, dan geolokasi yang dikumpul boleh dikongsi dengan kerajaan China bagi tujuan intipan. Setakat ini lima syarikat dari China iaiatu Huawei, ZTE, Hytera Communications, Hangzhou Hikvision Digital Technology dan Zhejiang Dahua Technology telah dimasukkan ke dalam Covered List.
Pada waktu ini DJI memagang 50% pasaran jualan dron di Amerika Syarikat. Pihak DJI telah mengeluarkan kenyataan rasmi menyangkal data peribadi pengguna boleh dikongsi dengan pihak ketiga. Keselamatan data pengguna tambah DJI telah disahkan sendiri oleh agensi kerajaan Amerika Syarikat dan syarikat keselamatan pihak ketiga.
Sebelum ini pihak tentera Amerika Syarikat telah mengharamkan penggunaan dron DJI sejak 2017 dan DJI juga telah dimasukkan ke dalam senarai entiti seperti Huawei.