Cari @ Amanz

Sony akan melancarkan sebuah telefon baharu esok dengan beberapa imej acah memberikan gambaran ia adalah yang terbaik untuk fotografi pada peranti mudah alih. Hari ini rekaan peranti dengan nama Sony Xperia Pro I telah tertiris menerusi ciapan Twitter @nokishita_c dan ia memang amat mengujakan sekali.

Peranti mempunyai sistem tri-kamera dengan salah satunya dilengkapi dengan sensor sebesar 1″ serta lensa ZEISS. Dengan sensor yang besar ini, ia meletakkan Xperia Pro I setanding dengan Sharp Aquos R6 dan Leica Leitz Phone 1. Terdapat spekulasi sensor 1″ 20MP dari kamera digital Sony RX100 digunakan pada Xperia Pro I.

Lebih menarik ialah lensa utama ini juga mempunyai ciri apertur yang boleh diubah dari f/2.0 ke f/4.0. Ciri ini dahulunya disokong pada peranti keluaran Samsung tetapi kini tidak lagi selepas Samsung mula menggunakan konfigurasi kuad-kamera. Turut dapat dilihat ialah perisian kamera khas untuk tujuan fotografi dan videografi lengkap dengan antaramuka perisian yang sama dengan kamera nircermin Sony Alpha.

Butang pengatup khusus untuk kamera dikekalkan bersama dengan nisbah skrin memanjang 21:9 tahun lalu. Aksesori menarik yang ditawarkan pula ialah skrin tambahan untuk melakukan rakaman VLOG menggunakan kamera utama dan tempat pemegang yang dilengkapi pelbagai butang kawalan kamera.

Spesifikasi lain peranti masih lagi misteri tetapi jelas sekali Sony Xperia Pro I akan menjadi telefon pintar untuk fotografi yang setanding dengan kamera digital keluaran Sony sendiri.

Terima kasih @memeranglaut

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd