Cari @ Amanz

Dua tahun lepas, jam tangan pintar Wear OS Moto360 yang terkenal suatu ketika dahulu telah dilancarkan kembali. Jenama jam tangan pintar Moto ini telah diambil-alih oleh eBuyNow yang kini bergabung dengan syarikat CE Brands Inc.

Bulan Mac lalu, CE Brands telah kongsi garis masa bagi produk-produk mereka termasuk beberapa jam tangan Moto baharu Moto G Smartwatch, Moto Watch dan Moto One. Tetapi tiada satu pun yang dilancarkan buat masa ini.

Satu jam dengan cip Snapdragon Wear 4100 turut tertiris sebelum ini, tetapi masih tiada khabar lagi sehingga hari ini. Baru-baru ini, jam Moto Watch 100 pula telah tiba di laman FCC. Ia hadir dengan rekaan skrin bulat, dua butang fizikal di sisi, hadir dengan sokongan perlindungan air 5ATM, menggunakan kerangka aluminium dan dikatakan akan dijual pada harga mampu milik.

Selain itu, jam ini turut mempunyai sensor pengimbas nadi, GPS, Bluetooth 5.2, bateri 355mAh dan akan ditawarkan dengan pilihan warna Phantom Black atau Steel Silver. Butiran lain seperti panel skrin, cip pemprosesan, fungsi-fungsi unik dan harga jualan masih belum didedahkan.

Jam ini dikatakan adalah Moto G Smartwatch yang patut dilancarkan Jun lalu. Moto Watch 100 ini mungkin akan dilancarkan secara rasmi sekitar November akan datang. Sama-sama kita nantikan.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd